RAMON Escobar.. FOTO California Department of Corrections and Rehabilitation via AP
RAMON Escobar.. FOTO California Department of Corrections and Rehabilitation via AP
AP

Delano, Califonia: Pembunuh bersiri Ramon Escobar disyaki membunuh rakan sel baharunya pada Jumaat di penjara California tengah, kata pihak berkuasa.

Escobar, 51, berkongsi sel dengan Juan Villanueva, di Penjara Negeri Kern Utara di Delano yang kematiannya sedang disiasat sebagai pembunuhan, kata kenyataan Jabatan Koreksi dan Rehabilitasi California.

Villanueva, 53, ditemui tidak sedarkan diri sebelum jam 9 pagi, walaupun usaha untuk menyelamatkan lelaki itu sudah dilakukan namun dia disahkan meninggal dunia sejurus kemudian di kemudahan rawatan penjara, kata agensi itu.

Villanueva menjalani hukuman penjara seumur hidup dengan peluang parol kerana serangan seksual terhadap kanak-kanak di bawah umur 14 tahun di Los Angeles.

Escobar disyaki membunuh Villanueva dan telah ditempatkan di kawasan lain menunggu siasatan, kata agensi itu.

Koroner Daerah Kern akan memaklumkan punca rasmi kematian, kata pihak berkuasa.

Bagaimanapun, maklumat lain tidak diberikan.

Escobar sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup tanpa peluang parol selepas mengaku bersalah tahun lalu atas tuduhan membunuh lima lelaki dan mencederakan tujuh yang lain.

Dia juga mengaku bersalah membunuh ibu dan bapa saudaranya di Houston, Texas, pada 2018.

Pendakwa raya berkata Escobar melarikan diri dari Texas selepas membunuh saudara-maranya dan kehilangan tempat tinggal mula menyerang orang ramai di Los Angeles dan Santa Monica kira-kira dua minggu pada September 2018.

Pendakwa raya berkata Escobar memukul mangsa dengan pemotong bolt atau kayu besbol ketika mereka berbaring tidur di jalan atau pantai.

Semua mangsa adalah gelandangan kecuali seorang.

Escobar tiba dalam tahanan penjara Disember lalu, manakala Villanueva tiba pada 2 Februari, kata pegawai.

Kedua-dua lelaki itu ditempatkan di Pusat Penerimaan, yang memproses banduan yang diterima masuk dari daerah di seluruh California

Banduan boleh ditahan di sana sehingga 90 hari sementara ditentukan lokasi mereka ditempatkan dalam sistem penjara negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Februari 2023 @ 9:51 AM