LOKASI kejadian di Philadelphia, Pennsylvania. FOTO AFP
LOKASI kejadian di Philadelphia, Pennsylvania. FOTO AFP
Reuters

Washington: Sekurang-kurangnya enam individu maut dan lebih 25 cedera dalam insiden tembakan beramai-ramai di Philadelphia, Pennsylvania, dan Chattanooga, Tennessee, Amerika Syarikat (AS) pada Ahad.

Bilangan mangsa yang terkorban dan cedera itu disahkan polis.

Beberapa penembak dilaporkan melepaskan tembakan di South Street yang sibuk di Philadelphia, kawasan yang dipenuhi dengan bar dan restoran pada tengah malam Sabtu.

Dua lelaki dan seorang wanita terbunuh susulan serangan itu dengan satu video menunjukkan orang ramai di jalan yang sesak berlari panik pada akhir klip berdurasi 22 saat itu, mungkin selepas tembakan pistol dilepaskan.

Klip itu bagaimanapun tidak mempunyai audio, namun Reuters dapat mengesahkan video menggunakan geolokasi.

"Terdapat ratusan individu hanya menikmati South Street, seperti yang mereka lakukan setiap hujung minggu, apabila tembakan ini berlaku," kata Inspektor Polis Philadelphia DF Pace.

Dalam kejadian berasingan, tiga individu maut dan 14 cedera akibat tembakan dilepaskan berhampiran bar di Chattanooga, menurut pihak berkuasa.

Dua mangsa maut akibat luka tembak dan seorang lagi meninggal dunia kesan kecederaan selepas dilanggar kenderaan ketika melarikan diri daripada tempat kejadian .

Menurut pegawai Tennessee, tiga mangsa cedera ketika mereka cuba melarikan diri dan dilanggar oleh kenderaan, dan sebahagian mereka masih dalam keadaan kritikal.

Berikutan itu, penyokong keselamatan senjata api mendesak kerajaan AS untuk mengambil langkah lebih tegas untuk membendung keganasan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Jun 2022 @ 9:57 AM