FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Reuters

Moscow: Pengguna Instagram (IG) di Rusia dikejutkan dengan pemberitahuan mengenai perkhidmatan laman sosial itu yang dihentikan mulai tengah malam Ahad lalu.

Ia sekali gus menyekat mereka daripada mengakses akaun masing-masing.

Pemiliknya, Meta Platforms (FB.O) dalam satu kenyataan minggu lalu memaklumkan akan membenarkan pengguna laman sosial di Ukraine menyiarkan mesej seperti 'Kematian kepada penceroboh Rusia'.

Mesej e-mel daripada pengawal selia komunikasi negeri memberitahu orang ramai untuk memindahkan gambar dan video mereka daripada IG sebelum ia ditutup.

Mereka turut disarankan beralih kepada platform Internet kompetitif milik Rusia sendiri.

Meta, yang juga memiliki Facebook (FB) pada Jumaat lalu memaklumkan perubahan sementara dalam dasar ucapan bencinya hanya terpakai kepada Ukraine, berikutan pencerobohan Rusia ke atas negara itu pada 24 Februari lalu.

Syarikat itu berkata, adalah salah untuk menghalang rakyat Ukraine daripada menyatakan tentangan dan kemarahan mereka terhadap pasukan tentera yang menceroboh.

Keputusan itu disambut dengan kemarahan di Rusia apabila pihak berkuasa sudah membuka siasatan jenayah terhadap Meta dan pendakwa raya pada Jumaat lalu.

Tindakan itu diambil bagi memohon mahkamah untuk menetapkan syarikat teknologi gergasi di Amerika Syarikat (AS) itu sebagai 'organisasi ekstremis'.

Ketua IG berkata, sekatan itu akan menjejaskan 80 juta pengguna.

Rusia mengharamkan FB di negara itu sebagai tindak balas kepada apa yang dikatakan sekatan akses kepada media Rusia di platform itu.

Mesej kepada pengguna IG daripada pengawal selia Roskomnadzor menyifatkan keputusan membenarkan seruan keganasan terhadap warga Rusia sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa.

"Kita perlu memastikan kesihatan psikologi rakyat terutama kanak-kanak dan remaja, untuk melindungi mereka daripada gangguan dan penghinaan dalam talian," katanya ketika menjelaskan keputusan untuk menutup platform itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mac 2022 @ 9:29 AM