Seorang rakyat Palestin membawa bendera negaranya ketika menyelamatkan diri daripada serangan gas pemedih mata oleh tentera Israel di Gaza pada 22 Disember 2017. FOTO Agensi
Seorang rakyat Palestin membawa bendera negaranya ketika menyelamatkan diri daripada serangan gas pemedih mata oleh tentera Israel di Gaza pada 22 Disember 2017. FOTO Agensi
BERNAMA

MALAYSIA menyokong resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menolak keputusan Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Tidak mungkin sampai bila-bila akan kita setuju,” tegas Najib dalam catatan di laman Twitter berhubung tindakan Amerika itu.

Najib berkata, Malaysia tidak bergantung dengan mana-mana negara termasuk AS dalam menyatakan pendirian berhubung perkara itu

“Walaupun dia (AS) kuasa besar tetapi jangan perlekehkan Malaysia!” kata Perdana Menteri.

Lebih 120 negara termasuk Malaysia pada Khamis mengundi menyokong resolusi PBB yang meminta AS menggugurkan pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Sebanyak 128 negara menyokong resolusi itu, sembilan menolak manakala 35 lagi berkecuali.

Amerika sebelum itu menggunakan kuasa veto bagi menghalang satu draf resolusi serupa pada sidang Majlis Keselamatan PBB, Isnin lalu.

Bernama sebelum ini melaporkan, PBB pada Khamis menerima pakai resolusi berkaitan status Baitulmaqdis sekali gus menjadikan keputusan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengiktiraf kota suci itu sebagai ibu kota Israel tidak mempunyai kesan dari segi perundangan.

Dalam satu sidang tergempar khas yang jarang berlaku, deraf resolusi yang dibentang oleh Turki dan Yaman diterima pakai menerusi undian 128 menyokong, sembilan menolak manakala 35 berkecuali.

Sembilan negara yang mengundi untuk menentang teks deraf itu ialah Guatemala, Honduras, Kepulauan Marshall, Micronesia, Nauru, Palau, Togo serta Amerika Syarikat dan Israel.

Resolusi itu "menegaskan bahawa sebarang keputusan dan tindakan yang bermaksud untuk mengubah ciri-ciri, status atau komposisi demografik Kota Suci Baitulmaqdis tidak mempunyai kesan dari segi perundangan, batal dan tidak sah serta hendaklah dimansuhkan bagi mematuhi resolusi Majlis Keselamatan yang relevan, dan dalam ini, semua negara diseru untuk mengelak penubuhan misi diplomatik di Kota Suci Baitulmaqdis."

Ia turut mendesak semua negara anggota PBB mematuhi resolusi Majlis Keselamatan berkaitan Baitulmaqdis, dan tidak mengiktiraf sebarang tindakan atau langkah yang bertentangan dengan semua resolusi berkaitan.

Undian sedemikian di Perhimpunan Agung PBB adalah tidak mengikat namun satu keputusan "ya" yang begitu lantang menggambarkan kehendak kolektif masyarakat antarabangsa dan membawa pengaruh politik yang amat besar.

Sebelum undian, Duta AS ke PBB Nikki Haley berulang kali mengancam untuk menghentikan bantuan kepada negara yang menyokong deraf resolusi itu selain sumbangan AS kepada PBB.

Beliau berkata, negaranya akan tetap memindahkan Kedutaan AS di Israel dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

"Tiada undi dalam PBB yang bakal mengubah perkara itu."

Bagaimanapun, Menteri Luar Turki Mevlut Cavusoglu menunjukkan bantahan terhadap tekanan AS.

"Kami tidak akan ditakut-takutkan. Anda mungkin kuat namun itu tidak bermakna anda betul!"

Cavusoglu memaklumkan sidang tergempar khas itu mengenai ancaman yang dibuat oleh AS.

"Sebelum mesyuarat ini, ada sebuah negara anggota PBB yang telah mengugut semua anggota lain. Kami telah diminta untuk mengundi 'tidak' atau berdepan akibatnya. Malah ada yang diancam untuk dihentikan bantuan pembangunan," kata Cavusoglu.

"Sikap sedemikian tidak boleh diterima. Ini adalah satu pembulian dan badan ini tidak akan tunduk kepadanya. Adalah sesuatu yang tidak beretika untuk berfikir bahawa nilai dan maruah negara anggota boleh dijual beli," katanya.

Sidang tergempar Perhimpunan Agung PBB pada Khamis telah diadakan selepas Amerika Syarikat menggunakan kuasa veto bagi menghalang satu deraf resolusi berhubung status Baitulmaqdis di Majlis Keselamatan diluluskan pada Isnin.

Kesemua 14 anggota lain dalam majlis itu telah mengundi untuk menyokong deraf itu.

Undian Majlis Keselamatan diadakan berikutan pengumuman Trump pada 6 Disember yang mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel dan perpindahan Kedutaan AS ke kota suci itu.

Di bawah resolusi 1950, satu sidang tergempar khas Perhimpunan Agung boleh dipanggil bagi membolehkan semua negara anggota PBB mempertimbang sesuatu isu "dengan tujuan untuk mengemukakan syor yang sewajarnya" untuk langkah kolektif sekiranya Majlis Keselamatan gagal bertindak.

Sidang tergempar khas pada Khamis adalah yang ke-10 seumpamanya dalam sejarah PBB.

Mesyuarat terakhir seumpamanya telah diadakan pada 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Disember 2017 @ 5:25 PM