BERAT bayi 4000 gram atau lebih didefinisikan sebagai macrosomia.
BERAT bayi 4000 gram atau lebih didefinisikan sebagai macrosomia.
Muhamaad Razis Ismail


Bayi 'tembam' atau 'chubby' yang baru lahir sering menjadi perhatian sehingga membuatkan ramai ingin mencubit dan menciumnya kerana dianggap comel.

Kebiasaan bayi dikategorikan sebagai normal apabila mempunyai berat badan dalam lingkungan 2.5 kilogram (kg) hingga 3.5 kg.

Namun jika bayi lahir melebihi berat badan empat kg ke atas, ia mempunyai keadaan fizikal berbeza dengan bayi lain yang dikenali sebagai macrosomia.

Keadaan ini berisiko kepada pelbagai komplikasi terhadap bayi dalam kandungan yang turut dipengaruhi kesihatan ibu ketika hamil.

Antaranya risiko yang berlaku adalah bahu bayi berkemungkinan tersangkut (distosia) di pelvis ibu kerana saiz yang besar sekiranya bersalin secara normal.

Distosia bahu boleh membawa kepada kecederaan kelahiran seperti Erb's Palsy (kecederaan pada lengan dan saraf tangan bayi) dan patah tulang kolar yang boleh pulih sepenuhnya.

Ibu turut berdepan risiko mengalami trauma ketika kelahiran iaitu koyakan mendalam yang membabitkan kulit dan otot-otot perineum serta pendarahan yang banyak

Secara global, macrosomia ini dialami antara tiga hingga sembilan peratus wanita hamil.

Menurut kajian, negara maju mengalami peratusan macrosomia yang lebih tinggi iaitu antara lima peratus hingga 20 peratus kelahiran namun jumlah ini dikatakan meningkat kepada 15 peratus hingga 25 peratus.

Ia mencetuskan kegusaran doktor dengan perkembangan ini meskipun perubatan menggunakan teknologi terkini, risiko dan komplikasi yang bakal dialami perlu diambil kira.

Pakar Perunding Sakit Puan dan Pakar Kesuburan Metro IVF, Dr Magendra Ramalingam berkata, macrosomia didefinisikan sebagai bayi yang mempunyai berat badan 4000 gram atau lebih.

DR Magendra
DR Magendra

Sekiranya terdapat kes yang dikhuatiri adalah macrosomia, berat janin akan diperoleh secara klinikal dan imbasan ultrasound.

"Untuk mengurangkan sebarang risiko dan komplikasi ketika kelahiran bayi macrosomia, kaedah kelahiran secara pembedahan perlu dipertimbangkan dan dibincangkan sebagai satu pilihan antara doktor serta pesakit," katanya.

Beliau berkata, terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada bayi macrosomia termasuk wanita obesiti yang mempunyai bacaan BMI lebih daripada 35 kg/m2.

"Wanita yang menghidap diabetes mellitus iaitu penyakit kencing manis memerlukan pengambilan insulin dan diabetes jenis kedua (kencing manis tanpa insulin) berisiko mempunyai bayi macrosomia.

"Pertambahan berat badan ketika mengandung, pernah mempunyai sejarah hamil bayi macrosomia dan keturunan iaitu ibu yang pernah dilahirkan sebagai bayi besar dari usia kandungan (LGA) berisiko mempunyai bayi macrosomia," katanya.

Dr Magendra berkata, meskipun sukar untuk mengesan bayi macrosomia ketika pemeriksaan kehamilan, terdapat gejala yang boleh diambil kira sebagai langkah berhati-hati.

"Antara yang perlu dipertimbangkan adalah ketinggian bayi yang melebihi paras normal, ukur lilit perut janin lebih daripada 360 milimeter (mm) dan air ketuban yang berlebihan.

MACROSOMIA dialami antara 3 peratus sehingga 9 peratus wanita hamil.
MACROSOMIA dialami antara 3 peratus sehingga 9 peratus wanita hamil.

"Selain itu, terlalu banyak cecair amniotik iaitu cecair yang mengelilingi dan melindungi bayi ketika kehamilan antara gejala bayi macrosomia.

"Anggaran berat janin >90 peratus julat percentil mengikut usia kandungan dan ibu hamil dengan paras gula tinggi dalam air kencing," katanya.

Justeru, perhatian khusus perlu diberikan kerana bayi yang dikandung ibu yang mempunyai penyakit kencing manis mempunyai berisiko dua hingga empat kali ganda mengalami bahu tersangkut (dystocia) .

"Risiko bahu dystocia meningkat 10 kali ganda dengan sejarah kelahiran bayi dystocia terdahulu.

"Bayi yang dikandung ibu berpenyakit kencing manis berisiko mempunyai masalah pernafasan (respiratory distress syndrome, sindrom bayi meninggal secara tiba-tiba, termasuk bayi yang baru lahir atau usianya 0-28 hari. Risiko jangka panjang adalah bayi itu berkemungkinan mempunyai diabetes jenis dua," katanya.

Beliau menasihatkan wanita hamil perlu menjalani pemeriksaan kesihatan seperti yang disarankan oleh doktor mengikut jadual yang ditetapkan.

"Pemakanan yang seimbang dan teratur amat penting dan ikut nasihat doktor supaya proses kehamilan dan kelahiran berjalan lancar untuk ibu serta anak.

"Wanita yang menghidap kencing manis perlu mengawal paras gula sebelum kehamilan seterusnya untuk mengurangkan komplikasi kepada janin.

"Kelahiran melalui kaedah pembedahan boleh mengelak komplikasi kepada bayi dan ibu tetapi perlu mengetahui dan memahami risiko pembedahan.

"Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2022 @ 7:00 AM