Dr Mohamed Rafi Feizal dan Dr Ummul Wahiy Abdul Hakim

Pantang larang ialah larangan keras terhadap suatu tindakan berdasarkan kepercayaan bahawa tindakan sedemikian boleh mendatangkan risiko jika dilakukan.

Setiap etnik sama ada Melayu, Cina mahupun India mempunyai pantang larang tertentu yang menghalang wanita mengandung daripada mengambil sesetengah jenis makanan seperti nanas, kopi, rebung, durian, isi kelapa tua, air tebu, pegaga dan makanan yang gatal. Ia dikatakan ‘tajam’ dan boleh menyebabkan keguguran kandungan atau uri melekat pada pangkal rahim.

Hakikatnya, pemakanan tidak menyebabkan terjadinya keguguran. Punca keguguran disebabkan ketidaksempurnaan janin atau hormon ibu bermasalah atau kandungan berlaku di luar rahim.

Justeru, wanita hamil boleh memakan makanan tadi kerana tiada cukup bukti mengatakan ia berbahaya kepada ibu mahupun kandungannya. Dari perspektif perubatan, ada beberapa jenis makanan yang sebaiknya dihindari ketika hamil kerana boleh menyebabkan jangkitan seperti salmonella, toksoplasmosis, listeria atau E Coli yang membahayakan bayi dalam kandungan.

Hindari daging mentah dan sushi, sashimi, tiram mentah, kerang atau makanan yang dimasak kurang matang, kerana ia mengandungi toksoplasmosis, parasit yang menyebabkan jangkitan serius pada janin anda dan juga E. Coli yang berbahaya bagi ibu hamil.

Telur separuh masak atau mentah dan hati mungkin sumber salmonella yang boleh menyebabkan cirit birit. Selain itu, daging barbeku juga harus dielakkan kerana dikhuatiri tidak dimasak sepenuhnya. Justeru, cuci piring dan alat masakan yang terkena daging mentah dengan bersih untuk mengelakkan jangkitan.

Selain itu, keju seperti brie dan camembert, blueveined, keju daripada susu kambing yang tidak dipasteur mengandungi listeria. Listeria adalah bakteria yang mampu menembus plasenta dan menyebabkan jangkitan janin. Listeria berisiko menyebabkan keguguran, kelahiran pramatang dan keracunan dalam darah.

Minuman manis, air berkarbonat dan makanan tinggi kandungan gula juga tidak digalakkan diambil berlebihan sewaktu hamil kerana boleh mengakibatkan ibu mendapat diabetes. Diabetes yang tidak terkawal boleh mengganggu tumbesaran janin, berat bayi rendah, menyebabkan kecacatan pada janin dan menyebabkan kelahiran pramatang dan lebih buruk lagi kematian janin.

Anda masih boleh menikmati kopi. Bagaimanapun, pastikan anda tidak mengambil lebih 200mg kafein sehari iaitu bersamaan dua cawan kopi segera atau satu cawan kopi serbuk yang dibancuh. Pengambilan kafein melebihi 200mg sehari ketika hamil membawa risiko keguguran yang lebih tinggi, mengurangkan penyerapan nutrisi yang optimum dan menyebabkan berat lahir bayi rendah.

Bayi lahir dengan berat lahir rendah mempunyai risiko masalah kesihatan lain ketika membesar. Had 200mg meliputi semua sumber kafein termasuklah semua jenis teh dan teh hijau, kola, minuman tenaga, coklat, latte, kapucino dan espreso. Jika anda perlu mengurangkan pengambilan kafein, bertukar daripada kopi dibancuh kepada kopi segera kerana kandungan kafeinnya lebih rendah.

Bayi yang dikandung oleh ibu ketagih kopi boleh menyebabkan pembuluh darah di dalam tubuh bayi mengecil. Jika pembuluh darah mengecil, akibatnya bayi akan mengalami aliran darah yang tidak lancar.

Bukan aliran darah saja yang tidak lancar, oksigen juga tidak diedar dengan lancar ke seluruh tubuh. Bayi yang kekurangan oksigen dan juga aliran darah terdedah kepada pelbagai gangguan kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Oktober 2018 @ 12:00 AM