DR Chong Chee Kheong. FOTO Arkib NSTP
DR Chong Chee Kheong. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Melihat anak kecilnya yang sedang leka bermain, terdetik hati seorang ibu muda, Mujahidah Abdul Jalil, "patutkah aku mengambil vaksin Covid-19 ini?"

Anaknya Iman, 20 bulan, masih menyusu badan dan beliau risau kalau ada kesan sampingan.

Kegusaran yang sama turut dirasai Suliana Mohd Saffuan, seorang penyampai radio yang sedang hamil.

"Saya nak ambil vaksin, tetapi saya risaukan kandungan saya. Apakah risikonya? Terdapat perbezaan pendapat di kalangan doktor membuatkan saya risau dan takut untuk mengambil vaksin," katanya.

Bukan tidak mahu divaksin, namun fitrah naluri ibu, keselamatan cahaya mata adalah keutamaan berbanding mengambil risiko yang masih belum pasti hasilnya.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Kheong, berdasarkan penilaian terkini, tiada data yang menunjukkan vaksin ini berbahaya kepada golongan ibu mengandung dan menyusu.

"Berdasarkan penilaian terkini kumpulan pakar di negara ini, tiada data yang menunjukkan vaksin ini tidak selamat digunakan oleh wanita mengandung dan ibu yang menyusukan anaknya," jelas Dr Chong yang merujuk kepada vaksin Corminaty keluaran Pfizer-BioNTech.

Namun ini kelihatan seperti tidak selari dengan cadangan dasar Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Menurut Strategic Advisory Group of Experts on Immunization (Sage) - sebuah kumpulan pakar yang menasihati WHO, vaksin Pfizer-BioNTech mRNA bagi Covid-19 adalah selamat dan berkesan.

Walaupun begitu, terdapat populasi spesifik yang mana vaksinasi tidak disyorkan sama ada kerana kontraindikasi, kekurangan data atau data yang terhad.

Populasi ini termasuk mereka dengan sejarah alahan teruk, kebanyakan wanita hamil, pelancong antarabangsa yang bukan sebahagian daripada kumpulan diutamakan dan kanak-kanak di bawah 16 tahun, jelas Sage dalam laman web WHO.

Ini penjelasan Dr Chong: "Kenyataan ini tidak salah berdasarkan data yang ada pada masa itu dan dasar Kementerian Kesihatan adalah vaksin yang dugunakan adalah betul-betul selamat bagi mempastikan rakyat mendapat manfaat spenuhnya.

"Memandangkan vaksin ini adalah vaksin baharu dan ada lagi data kajian klinikal masih belum diketahui sepenuhnya. Pakar sentiasa berhati-hati dalam mengeluarkan panduan termasuk adakah vaksin boleh diberikan kepada kumpulan tertentu seperti wanita mengandung dan ibu yang sedang menyusukan bayi," katanya dalam temubual eksklusif.

Kementerian Kesihatan telah memberi kelulusan bersyarat kepada penggunaan vaksin Corminaty pada Januari lalu, menjadikan ia vaksin Covid-19 pertama yang didaftarkan untuk kegunaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Malaysia.

Dr Chong menasihati wanita hamil dan ibu yang masih menyusukan bayi yang mahu mengambil vaksin Corminaty daripada Pfizer-BioNTech agar mendapat nasihat daripada doktor pakar terlebih dahulu.

"Berdasarkan penilaian kumpulan pakar Obstetrik dan Onkologi, masa terbaik bagi wanita mengandung mengambil vaksin adalah semasa kandungan berusia antara 14 hingga 33 minggu sahaja," katanya.

Tambah Dr Chong lagi golongan ini juga perlu dinilai terlebih dahulu apakah risiko mereka terhadap jangkitan Covid-19 sekiranya mereka berminat untuk mengambil vaksin.

"Pertimbangan perlu dibuat apakah yang perlu diutamakan - antara risiko mereka mendapat jangkitan Covid-19 sekiranya tidak diberikan vaksin atau risiko mereka mendapat kesan adverse atau komplikasi selepas diberikan vaksin.

"Sebagai contoh, risiko anggota kesihatan di barisan hadapan yang mengandung khususnya di jabatan tertentu seperti Jabatan Kecemasan, Unit Rawatan Rapi (ICU), wad isolasi dan Jabatan Pesakit Luar untuk dijangkiti Covid-19 lebih tinggi berbanding risiko untuk mendapat kesan sampingan daripada vaksin yang sangat jarang dilaporkan," katanya.

Dr Chong turut menambah berdasarkan kajian, wanita mengandung yang dijangkiti Covid-19 lebih berkemungkinan untuk mendapatkan rawatan di ICU dan bantuan pernafasan berbanding wanita yang tidak mengandung.

"Kajian di Mexico seperti yang dilaporkan dalam Journal of Obstetrics and Gynaecology pada 2021 menyatakan wanita mengandung mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk kematian, pneumonia dan kemasukan ke dalam ICU berbanding wanita yang tidak mengandung," katanya.

Disebabkan itu, jelas Dr Chong, anggota barisan hadapan yang mengandung boleh dipertimbangkan untuk diberikan vaksin Covid-19 setelah mendapatkan pandangan doktor pakar masing-masing.

Bagaimana pula untuk wanita yang bukan sahaja hamil, tetapi mempunyai penyakit kronik?

Dr Chong menerangkan ibu mengandung atau ibu menyusukan anak yang mempunyai penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi adalah berisiko tinggi untuk mendapatkan jangkitan Covid-19 dan seterusnya mendapat komplikasi jangkitan yang serius.

"Sewajarnya mereka ini diberikan perlindungan dan dipertimbangkan untuk diberikan vaksin Covid-19.

"Bagaimanapun, penilaian perlu dibuat terlebih dahulu oleh pakar Obstetrik dan juga pakar daripada pelbagai bidang terutama yang terlibat dalam rawatan penyakit kronik yang dihidapi oleh wanita tersebut," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mac 2021 @ 7:01 AM