OMBAK kuat di pesisir Malecon ketika ribut Elsa melanda Santo Domingo, Republik Dominican pada Sabtu. FOTO EPA.
OMBAK kuat di pesisir Malecon ketika ribut Elsa melanda Santo Domingo, Republik Dominican pada Sabtu. FOTO EPA.
AFP

Havana: Ribut tropika Elsa membadai Jamaica dan Cuba, membawa bersama angin kencang serta hujan pada Ahad, selepas mengorbankan tiga nyawa ketika merentasi Caribbean.

Pihak berkuasa menjangkakan berlaku banjir dan tanah runtuh ketika ribut yang kekuatannya menurun daripada status taufan sebelum ini, bergerak ke utara menuju Amerika Syarikat (AS).

Menurut Pusat Taufan Nasional (NHC) AS, Elsa membawa bersama angin kencang berkelajuan 95 kilometer sejam setakat jam 8 malam pada Ahad (0000 GMT Isnin).

Sebelum itu, menjelang petang, amaran ribut tropika itu dilapor agensi itu telah dibatalkan di Jamaica dan sebahagian Cuba.

Namun, amaran kekal di bahagian lain di Cuba dan Florida Keys dengan Elsa dijangka membadai barat AS, seawal Selasa.

Tiga kematian antaranya membabitkan remaja lelaki 15 tahun dan wanita 75 tahun yang dilapor pada Sabtu di perairan selatan Republik Dominican.

Remaja itu maut selepas terperangkap dalam runtuhan bangunan dekat Baoruco, manakala warga emas yang menerima nasib sama di Bani, kata pusat operasi kecemasan negara itu.

Sejumlah 50 kediaman dilapor musnah pada Ahad.

Agensi Pengurusan Kecemasan Bencana Caribbean (CDEMA) memaklumkan kematian ketiga berlaku di Soufriere di kepulauan Santa Lucia, namun tidak mendedahkan secara terperinci.

Dalam pada itu di Surfside, Florida, pihak berkuasa merobohkan sisa bangunan kondominium yang runtuh pada 24 Jun lalu bagi mengelak risiko lebih buruk apabila dibadai Elsa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Julai 2021 @ 11:50 AM