BANGUNAN berkenaan. FOTO AFP
BANGUNAN berkenaan. FOTO AFP
AFP

Miami: Angka kematian akibat runtuhan kondominium di Florida, Amerika Syarikat meningkat kepada 24 orang, menjadikan mangsa yang masih hilang kini 124 orang.

Pihak berkuasa juga berikrar akan segera merobohkan seluruh struktur sebelum kemungkinan kedatangan Taufan Elsa.

Sembilan hari selepas tragedi itu di bandar Surfside, Miami itu, 124 orang masih disenaraikan sebagai hilang, kata Datuk Bandar Miami-Dade County Daniella Levine Cava.

Peluang untuk mencari mangsa yang masih hidup di bawah runtuhan menara 12 tingkat kondominium Champlain Towers South itu pada 24 Jun lalu semakin tipis selepas operasi mencari dan menyelamat masuk hari kesembilan.

Taufan Elsa kini menghentam pulau-pulau di Caribbean, dijangka tiba ke pantai Florida petang Ahad, menurut laporan kaji cuaca.

Pihak berkuasa mempercepat rancangan untuk merobohkan sisa struktur bangunan itu.

Mereka bimbang dengan keselamatan ratusan pasukan mencari dan menyelamat dalam usaha mencari mangsa tertimbus.

Gabenor Ron DeSantis memberitahu wartawan kerja mencari dan menyelamat dapat diselesaikan sebelum Elsa tiba, mungkin pada Selasa.

Pihak berkuasa sebelumnya mengatakan kerja itu memakan masa berminggu-minggu, tetapi DeSantis, seorang Republikan, mengatakan mahu mempercepatkan proses mencari.

Dia mengatakan usaha mencari dapat diselesaikan dalam tempoh 36 jam yang memerlukan kerja maksimum dari pasukan mencari dan menyelamat.

Ketua bomba Miami-Dade, Alan Cominsky berkata, beberapa individu sudah disahkan positif Covid-19 dalam pasukan mencari dan menyelamat itu.

Pasukan itu katanya, sudah dimobilisasi, dan protokol perubatan disediakan untuk mengasingkan orang yang terjejas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Julai 2021 @ 10:20 AM