ZUCKERBERG mula membeli tanah di Pulau Kauai sejak 2014. FOTO Agensi
ZUCKERBERG mula membeli tanah di Pulau Kauai sejak 2014. FOTO Agensi
Agensi

Hawaii: Pengasas Facebook (FB), Mark Zuckerberg mengukuhkan lagi kekayaannya dengan membeli kira-kira 243 hektar tanah di Pulau Kauai di sini.

New York Post melaporkan tindakan jutawan dan isterinya, Priscilla Chan itu bagaimanapun tidak disenangi penduduk tempatan sehingga ada petisyen dalam talian yang menuntut Zuckerberg berhenti 'menjajah' negeri Aloha.

Difahamkan, petisyen itu berhasil mengumpul lebih sejuta tandatangan setakat Sabtu lalu.

Pasangan itu dilaporkan membeli tanah berkenaan dengan harga AS$53 juta (kira-kira RM218 juta) dari Waioli Corp, menurut Pacific Business News.

Pembelian itu menjadikan pasangan berkenaan memiliki lebih dari kira-kira 526 hektar tanah di Kauai yang dikenali sebagai 'pulau taman' kerana dikelilingi hutan hujan tropika yang luas.

Zuckerberg dan Chan mula 'meluaskan' pemilikan ranah di pulau itu pada 2014 dengan membeli Ladang Kahuaina seluas kira-kira 144 hektar.

Pada tahun 2017, Zuckerberg mengemukakan tuntutan di mahkamah untuk memaksa penduduk asal yang memiliki tanah bersaiz kecil di sekitar kawasannya supaya menjual lot kepunyaan mereka.

Tuntutan itu dikatakan dibuat bagi memberi laluan kepadanya untuk meluaskan kawasan persendiriannya dan menjaga privasinya.

"Ini adalah wajah neokolonialisme (perluasan kuasa melalui melalui tekanan)," kata Profesor Undang-Undang Universiti Hawaii Kapua Sproat.

Sementara itu, Stephen Maxwell menerusi catatannya di ruang petisyen change.org menyatakan Zuckerberg tiada rasa hormat terhadap orang lain.

Selain itu, jutawan itu terang-terangan menunjukkan sikap tamak serta mementingkan diri.

"Dia patut diusir dari Kauai," tulisnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Mei 2021 @ 6:00 AM