FOTO fail menunjukkan Long March-5B dilancarkan dari tapak pelancaran di Hainan, baru-baru ini. FOTO AFP
FOTO fail menunjukkan Long March-5B dilancarkan dari tapak pelancaran di Hainan, baru-baru ini. FOTO AFP
AFP

Beijing: Serpihan roket Long March-5B milik China dijangka memasuki atmosfera bumi sama ada hari ini atau esok.

Semakin menghampiri ke detik itu, pengiraan mengenai masa dan lokasi ia jatuh masih tidak dapat dipastikan dengan tepat, menurut tentera Amerika Syarikat (AS).

Portal Insider melaporkan bahawa lokasi serpihan itu jatuh amat sukar diramal memandangkan ia terhempas tanpa kawalan.

Space-Track, laman web dikendalikan oleh Skuad Kawalan Angkasa Lepas, antara cawangan tentera AS menerusi Twitter pada Jumaat berkata, roket itu akan memasuki atmosfera bumi pada 11.13 malam (Waktu Universal Selaras atau UTC) atau 7.13 malam (Waktu Timur atau ET), pada Sabtu.

Menurut koordinat yang diberikan laman berkenaan pada masa itu, ia mungkin jatuh di Turkmenistan.

Bagaimanapun, menurut laman web itu, koordinat itu akan berubah-ubah, sehingga jelas mengetahui waktu roket itu memasuki atmosfera.

Sebelum itu, pada Khamis, roket itu dijangka terhempas di Lautan Hindi.

Satu lagi badan pemantau roket itu, Perbadanan Angkasa Lepas, syarikat bukan berasaskan keuntungan yang menerima dana AS, pada Khamis meramalkan roket itu akan memasuki atmosfera pada 3.43 pagi UTC, atau 11.43 malam ET, 9 Mei iaitu Ahad.

Media sebelum ini melaporkan China berjaya melancarkan modul pertama stesen angkasa lepasnya pada Khamis dengan menggunakan roket Long-March 5B

Modul teras Tianhe itu mempunyai peralatan sokongan hayat dan ruang tempat tinggal untuk angkasawan dilancarkan dari wilayah Hainan.

Stesen angkasa lepas Tiangong yang bermaksud Istana Syurga itu dijangka akan beroperasi pada 2022 selepas kira-kira 11 misi lagi untuk menghantar modul lain dan memasangnya di orbit.

Selepas lengkap, ia adalah seberat 90 tan atau kira-kira satu perempat daripada saiz Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS).

ISS yang juga kerjasama antara AS tidak akan digunakan selepas 2024, meskipun Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) menyatakan ia boleh beroperasi sehingga selepas 2028.

Selepas ketiadaan ISS, stesen angkasa lepas China itu mungkin menjadi satu-satunya stesen angkasa lepas yang mengorbit bumi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 12:01 PM