ROKET untuk membawa modul kedua ke stesen angkasa China, Tiangong, dilancarkan dari tapak pelancaran Wenchang, selatan China pada 30 Julai 2022. FOTO fail CNS / AFP) / China OUT
ROKET untuk membawa modul kedua ke stesen angkasa China, Tiangong, dilancarkan dari tapak pelancaran Wenchang, selatan China pada 30 Julai 2022. FOTO fail CNS / AFP) / China OUT
Reuters

Washington: Roket China memasuki semula ruang udara bumi, secara tanpa kawalan, di atas Lautan Hindi.

Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (Nasa) tidak menyatakan secara terperinci mengenai lokasi di mana serpihan roket itu akan terhempas.

Bagaimanapun, Nasa mengingatkan semua negara yang terbabit dalam penerokaan angkasa lepas untuk berkongsi maklumat lebih awal untuk mengetahui lokasi serpihan roket itu dijangka terhempas.

Pentadbir Nasa, Bill Nelson berkata, langkah itu untuk memastikan keselamatan penduduk Bumi.

Dalam pada itu, ada pengguna media sosial di Malaysia yang memuat naik apa yang dikatakan sebagai serpihan roket.

Sebuah pusat penyelidikan bukan berasaskan keuntungan yang menerima dana kerajaan dekat Los Angeles, Aerospace Corp berkata, adalah sesuatu yang cuai untuk membenarkan roket seberat 22.5 tan itu, untuk memasuki ruang udara Bumi, secara tanpa kawalan.

Awal minggu ini, penganalisis berkata, roket itu akan berkecai apabila ia memasuki atmosfera tetapi serpihannya yang besar akan bertaburan di kawasan sepanjang 2,000 kilometer (km), kali 70 kilometer (km) lebar.

Kedutaan China di Washington tidak mengeluarkan sebarang kenyataan.

Namun, China pada awal minggu ini berkata, pihaknya akan memantau secara dekat serpihan itu dan menjangka ia akan memberi risiko kecil kepada orang awam.

Roket Long March 5B dilancarkan pada 24 Julai untuk menghantar modul makmal ke stesen angkasa lepas China yang sedang dalam pembinaan.

Ia adalah pelepasan ketiga paling berkuasa tinggi roket China itu sejak dilancarkan pertama kali pada 2020.

Serpihan satu roket Long March 5B terhempas di Ivory Coast, pada 2020, menyebabkan kerosakan beberapa bangunan di negara Afrika Barat itu tetapi tidak menyebabkan sebarang kecederaan.

Sebagai perbandingan, Amerika Syarikat dan negara yang melakukan misi ke angkasa lepas lazimnya mereka bentuk roketnya supaya ia dapat mengelak dari ia memasuki ruang udara Bumi, secara tanpa kawalan.

Tahun lalu, Nasa dan beberapa pihak menuduh China berdiam diri mengenai jangkaan serpihan satu roket Long March yang memasuki ruang udara Bumi.

Serpihan roket itu bagaimanapun terhempas di Lautan Hindi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Julai 2022 @ 8:26 AM