GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
AFP

Los Angeles: Lelaki California dihukum penjara lebih 200 tahun, pada Khamis, selepas melemaskan dua anak lelakinya yang autistik.

Ia selepas dia memandu keretanya sehingga ia terjatuh dari jeti, dalam usahanya untuk mendapat manfaat polisi insurans nyawa yang diambil atas nama anaknya itu.

Ali Elmezayen, 45, memandu kereta dinaiki oleh bekas isterinya dan dua anak mereka di jeti di San Pedro, selatan Los Angeles, pada 9 April 2015.

Kedua-dua anaknya itu yang berusia lapan dan 13 tahun lemas, manakala bekas isterinya, Raba Diab, diselamatkan dengan pelampung dibaling oleh pemancing.

Elmezayen menyelamatkan diri menerusi tingkap bahagian pemandu yang terbuka dan berenang ke tangga di bahagian limbungan jeti berkenaan.

Susulan kematian anaknya, Elmezayen, yang juga warga Mesir memperoleh lebih AS$260,000 (kira-kira RM1.068 juta) daripada polisi insurans menerusi dua syarikat.

Pihak berkuasa berkata, Elmezayen memindahkan sebahagian daripada wang berkenaan ke Mesir, manakala $80,000 (kira-kira RM328,000) lagi dirampas daripada akaunnya di Amerika Syarikat.

Elmezayen didapati bersalah pada Oktober 2019 atas pertuduhan di peringkat persekutuan berhubung penipuan, kecurian identiti dan pengubahan wang haram.

Hakim John Walter menjatuhkan hukuman 212 tahun terhadap lelaki itu dan menyifatkan apa yang dilakukan tertuduh sebagai amat kejam.

"Dia adalah penipu yang licik," kata Walter. "Dia hanya menyesal kerana tertangkap."

Elmezayen masih berdepan tuduhan membunuh kedua-dua anaknya itu dan cubaan membunuh bekas isterinya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mac 2021 @ 8:57 AM