IBU pejabat FBI di Washington, DC. FOTO fail AFP
IBU pejabat FBI di Washington, DC. FOTO fail AFP
AFP

Los Angeles: Polis Los Angeles dan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) sedang menyiasat antara kecurian wang tunai terbesar dalam sejarah bandar ini, membabitkan hampir AS$30 juta (kira-kira RM142.3 juta).

David Cuellar dari Jabatan Polis Los Angeles berkata kejadian itu berlaku pada Ahad lalu, di pinggir utara Sylmar, apabila pencuri menceroboh melalui bumbung sebelum memecahkan peti besi di kemudahan penyimpanan wang.

Los Angeles Times, memetik sumber yang biasa dengan penyiasatan itu berkata, pencuri memanjat bumbung untuk mengakses peti besi dalam bangunan, namun entah bagaimana suspek berjaya mengelak dikesan sistem penggera yang canggih.

Kecurian yang rumit itu nampaknya adalah kerja kru berpengalaman, dan hanya disedari pada Isnin apabila kakitangan membuka peti besi itu, kata akhbar itu.

"Sungguh mengejutkan bahawa anda tidak akan mengesyakinya. AS$30 juta di hilang? Bagaimana? Kenapa? Saya masih cuba memprosesnya.

"Adakah ia kerja orang dalam? Adakah ia hanya seorang? Adakah ia satu kumpulan? Anda tahu pastinya kes ini terdapat banyak persolan," kata pekerja tanpa mendedahkan nama semasa ditemui di kemudahan penyimpanan wang itu kepada ABC News.

Jenayah itu mengingatkan filem rompakan Hollywood seperti Ocean's Eleven, dan ia mengikuti rentetan kehidupan sebenar, pencerobohan yang menembusi kecanggihan.

Dua tahun lalu, pencuri berjaya melarikan permata bernilai AS$100 juta (kira-kira RM474.3 juta) dari sebuah trak yang diletakkan di perhentian rehat lebuh raya dalam perjalanan ke pertunjukan permata dan barang kemas di sini..

Julai lalu, seorang lelaki membuat lubang di siling kedai wain mewah berhampiran Pantai Venice, sebelum melarikan barangan vintaj Burgundy dan Bordeaux bernilai AS$600,000 (kira-kira RM2.8 juta)

Menurut LA Times, rompakan wang tunai terbesar yang diketahui sebelum ini dalam sejarah bandar Los Angeles berlaku pada 1997, apabila AS$18.9 juta (kira-kira RM89.6 juta) dicuri dari depoh dilengkapi pelindung berperisai. Bagaimanapun pencuri akhirnya berjaya diberkas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2024 @ 11:03 AM