BAS yang terjunam ke dalam gaung di kawasan terpencil Andes, Peru. FOTO Polis Peru/ AFP.
BAS yang terjunam ke dalam gaung di kawasan terpencil Andes, Peru. FOTO Polis Peru/ AFP.
Reuters

Lima: Sekurang-kurangnya 25 orang terkorban dan 17 cedera, semalam, selepas bas dinaiki terbabas ketika melalui kawasan pergunungan di Peru, menurut jabatan kesihatan wilayah Ayacucho.

Ketua bahagian perlindungan lebuh raya, Jhonny Rolando Valderrama memberitahu agensi berita negeri Andina, bas itu terbabas dari lebuh raya di wilayah Ayacucho Andean, Peru pada awal pagi, terbalik dan terjunam ke gaung kira-kira 200 meter.

Valderrama berkata, kemalangan itu berlaku di lebuh raya Los Libertadores di Ayacucho di tengah selatan Andes dan kerja menyelamat sedang dijalankan.

Menjelang awal petang, seorang pegawai tertinggi polis berkata, maklumat awal menunjukkan terdapat 42 penumpang di dalam bas itu.

Penguasa pengangkutan darat Peru, Sutran dalam kenyataan berkata, bas berkenaan milik syarikat tempatan, Turismo Molina Union SAC dan pihaknya sudah memulakan siasatan.

Wakil syarikat ketika dihubungi Reuters tidak memberi sebarang maklum balas.

Kemalangan bas yang membawa maut antara insiden biasa berlaku di Peru, disebabkan banyak bas melalui jalan pergunungan yang tidak teratur atau dipandu oleh pemandu yang tidak terlatih.

Pada April lalu, sekurang-kurangnya 25 orang maut selepas bas dinaiki jatuh ke dalam sungai di wilayah Cajamarca, utara Peru, manakala pada September lalu sekurang-kurangnya 24 orang maut dalam kemalangan serupa di wilayah Anco.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2024 @ 10:35 AM