THAI mengalami pembengkakan otak akibat menghidu terlalu banyak bau lada. FOTO Agensi
THAI mengalami pembengkakan otak akibat menghidu terlalu banyak bau lada. FOTO Agensi
Agensi

Brasilia: Seorang wanita di Brazil dikejarkan ke hospital selepas menghidu terlalu banyak bau lada dan mengalami pembengkakan otak yang serius akibat perbuatannya itu.

Thai Medeiros, 25, terpaksa mengambil masa enam bulan untuk menjalani proses pemulihan di hospital, lapor India Times.

Insiden itu dilaporkan berlaku pada Februari lalu ketika Thai membantu pasangannya menyediakan makan malam untuk ibu bapanya di rumah mereka di Anapolis, wilayah tengah Brazil.

Semuanya dalam keadaan baik sehingga Thai memutuskan untuk menghidu jeruk lada kambing.

Thai bukan sahaja menghidu bau lada yang sangat pedas tetapi juga secara tidak sengaja menyapunya di hidungnya.

Akibatnya, wanita itu jatuh sakit tidak lama kemudian dan mengadu gatal tekak sebelum dikejarkan ke hospital di Anapolis, seterusnya dipindahkan ke kemudahan berhampiran kampung halamannya.

Selepas beberapa ujian, Thai didapati mengalami pembengkakan otak, dikenali sebagai edema dan pakar percaya ia berpunca daripada tindak balas alahan terhadap lada.

Keadaan Thai dilaporkan sangat teruk sehingga wanita itu koma selama beberapa hari selepas menghidu lada.

Menurut ibu Thai, wanita itu mempunyai masalah pernafasan termasuk bronkitis dan asma.

Pada 31 Julai lalu, Thai dibenarkan keluar dari hospital namun dimasukkan semula ke pusat perubatan empat hari kemudian selepas mengalami demam panas dan air kencing kemerahan.

Pada 10 Ogos lalu, Thai bersedia untuk pulang namun mengalami bronkospasme iaitu pengetatan otot yang melapisi saluran udara paru-paru.

Buat masa ini, pihak hospital tidak tahu bila Thai boleh pulang ke rumah kerana semuanya bergantung keadaannya.

Doktor turut khuatir wanita itu tidak dapat meneruskan kerja harian serta aktiviti lain kerana kekurangan oksigen akibat masalah sarafnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 September 2023 @ 12:22 PM