SAUDARA-MARA meratapi kematian mangsa. FOTO Reuters
SAUDARA-MARA meratapi kematian mangsa. FOTO Reuters
AFP

Mexico City: Enam remaja yang diculik di negeri Zacatecas di utara Mexico, disahkan maut.

Pegawai kanan negeri Zacatecas, Rodrigo Reyes pada Khamis mengesahkan, enam mayat yang ditemukan pada hari sebelumnya dikenal pasti sebagai remaja berusia antara 14 hingga 18 tahun yang diculik pada Ahad lalu.

"Pendakwa raya pergi ke tempat kejadian... menjalankan laporan pakar, kerja forensik dan waris sudah dapat mengenal pasti (identiti) mangsa," katanya kepada saluran televisyen Milenio.

Beliau berkata, mangsa penculikan ketujuh ditemukan selamat di perbandaran Villanueva di Zacatecas.

"Mangsa terselamat itu dirawat di hospital akibat kesan lebam dan cedera.

"Dua suspek ditangkap di Villanueva dan terdapat kebarangkalian tinggi, mereka ada kaitan dengan jenayah itu," katanya.

Presiden Andres Manuel Lopez Obrador menzahirkan kesedihan atas kematian itu.

Katanya, mangsa yang terselamat, dikenali sebagai Sergio Yobani Acevedo, akan membantu pihak berkuasa bagi menentukan motif penculikan.

Remaja itu dilaporkan diculik kumpulan bersenjata selepas mengadakan pesta di sebuah rumah di kawasan luar bandar.

Walaupun punca penculikan tidak jelas, kartel Sinaloa dan Generasi Baharu Jalisco berkuasa untuk mengawal laluan pengedaran dadah yang menguntungkan ke Amerika Syarikat, melalui Zacatecas.

Mexico merekodkan lebih 420,000 pembunuhan sejak pelancaran serangan antidadah tentera yang kontroversi pada 2006.

Ia juga mencatatkan lebih 110,000 kehilangan sejak 1962, kebanyakannya dikaitkan dengan organisasi jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2023 @ 10:49 AM