Presiden Mexico, Andres Manuel Lopez Obrador. - FOTO Reuters
Presiden Mexico, Andres Manuel Lopez Obrador. - FOTO Reuters
AFP

Mexico: Presiden Mexico, Andres Manuel Lopez Obrador, semalam mengesahkan bahawa beliau dijangkiti Covid-19 untuk kali kedua dan mengalami gejala ringan.

"Saya disahkan positif Covid-19 dan walaupun mengalami gejala ringan, saya akan tetap menjalani proses pengasingan serta hanya menjalankan tugas seharian secara maya sehingga sembuh," katanya menerusi kenyataan di Twitter.

Terdahulu, pemimpin berusia 68 tahun yang jarang memakai pelitup muka itu dilihat hadir pada sidang media harian dan bersuara garau.

Menyedari perubahan sedemikian, beliau memaklumkan bahawa akan melakukan saringan kesihatan, namun percaya sudah dijangkiti selesema.

Lopez Obrador dilaporkan dijangkiti Covid-19 kali pertama pada awal 2021 dan menerima vaksin AstraZeneca, termasuk dos penggalak pada 7 Disember, tahun lalu.

Seperti negara lain, Mexico merekodkan peningkatan kadar jangkitan harian berikutan kemunculan varian Omicron dan majlis sosial dalam kalangan keluarga menjelang akhir tahun lalu.

Berdasarkan perangkaan setakat Jumaat lalu, Mexico mencatatkan kadar kematian kelima tertinggi di dunia, melepasi paras 300,000.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 January 2022 @ 6:22 PM