GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
AFP

MEXICO: Presiden Manuel Lopez Obrador, berikrar akan memperbaiki tahap kesihatan negara itu, yang mencatat 38,888 kematian Covid-19, keempat tertinggi di dunia, semalam.

"Kita mahu memperingati mereka yang maut akibat pandemik Covid-19 ini dan mengucapkan takziah kepada sanak saudara serta rakan mereka.

"Kita akan adakan upacara khas bagi memperingati mangsa tragedi ini dan menghargai mereka yang menjadi barisan hadapan menangani pandemik," katanya dalam satu kenyataan video di media sosial.

Obrador turut membacakan senarai 10 komitmen untuk melindungi mereka yang berisiko tinggi dijangkiti Covid-19 termasuk menangani penyakit akibat kelaparan dan kemiskinan.

Beliau juga melancarkan 'kempen kekal' bagi memupuk gaya hidup sihat, pemakanan sihat, merawat darah tinggi, diabetes dan kegemukan.

Mexico, dengan 127 juta penduduk, merekodkan 38,888 kematian daripada 338,913 kes jangkitan Covid-19 dan pakar meramalkan angka kematian akan melepasi 40,000 tidak lama lagi.

Mexico kini negara kedua paling terjejas di Amerika Latin selepas Brazil, yang mencatatkan 2,098,389 kes jangkitan termasuk 79,488 kematian.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2020 @ 11:27 AM