MAYAT mangsa disusun sebelum dihantar ke hospital.
MAYAT mangsa disusun sebelum dihantar ke hospital.

Rio de Janeiro : Sekurang-kurangnya 49 orang terbunuh awal pagi semalam apabila sebuah bas pelancong jatuh ke dalam gaung di selatan Brazil.

Polis mulanya berkata 30 orang mati, tetapi jumlah itu meningkat apabila pasukan penyelamat menemui lebih banyak mayat di kawasan kemalangan di negeri Santa Catarina, kata jurucakap kerajaan Cladio Thomas.

Tiga kanak-kanak yang diselamatkan mati di hospital tempatan ketika dirawat.

Menurut Thomas, jumlah kematian mungkin meningkat.

Bas berkenaan terhumban 400 meter ke dalam gaung bersemak ketika awal pagi. Keadaan gelap merumitkan usaha menyelamat.

Kenderaan itu sepatutnya membawa 50 penumpang tetapi pihak berkuasa berkata, mungkin jumlah yang ada dalam bas itu melebihi had yang dibenarkan.

Kemalangan berlaku berhampiran kawasan tinjau di pergunungan Dona Francisca, tempat hentian popular dalam kalangan pelancong.

Saksi berkata, pemandu itu hilang kawalan di sebuah jalan berselekoh. Bagaimanapun, punca sebenar masih disiasat.

Kemalangan di kawasan itu sering berlaku.

Menurut laporan, 66 orang maut di lebuh raya itu sepanjang lima tahun lalu.

Brazil mempunyai rekod buruk berkaitan dengan keselamatan jalan raya. Kira-kira 43,000 penduduknya mati akibat kemalangan jalan raya setiap tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mac 2015 @ 5:21 AM