Keadaan di jalan bandar Khartoum. - FOTO AFP
Keadaan di jalan bandar Khartoum. - FOTO AFP
Bernama-Xinhua

Khartoum: Pertempuran ganas meletus semula antara Tentera Sudan (SAF) dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) di beberapa kawasan di Khartoum, lapor Xinhua.

RSF melancarkan serangan mensasarkan ibu pejabat Komando Am SAF di Khartoum dan pangkalan tentera lain di bandar Omdurman dan Bahri, menurut media tempatan dan saksi kejadian.

"Pertempuran ganas berlaku pada subuh hari ini (Sabtu) di Komando Am tentera Sudan," lapor portal berita Sudan Tribune di laman sesawangnya.

Sementara itu, seorang saksi kejadian berkata: "sejak pagi, terdapat letupan kuat di kawasan Burri dan Imtidat Nasir, dengan kepulan asap menyelubungi kedua-dua kawasan itu."

Di bandar Bahri di utara Khartoum, saksi berkata RSF melancarkan serangan ke atas Kor Tentera Sudan.

Pertempuran ganas juga berlaku antara RSF dan SAF di sekitar Kor Jurutera, pangkalan tentera strategik, di barat Omdurman.

Pertempuran sudah memasuki bulan keenam dan RSF masih mengawal kawasan utama di ibu negara Khartoum dan beberapa kawasan di barat, manakala SAF mengawal kawasan di utara, timur dan tengah Sudan.

Sudan telah menyaksikan pertempuran maut antara SAF dan RSF di Khartoum dan kawasan lain sejak 15 April, mengakibatkan sekurang-kurangnya 3,000 kematian dan lebih 6,000 kecederaan, menurut data dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Sudan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 September 2023 @ 11:37 AM