Vincent Tumuhiirwe dan Robert Ariyo. FOTO Agensi
Vincent Tumuhiirwe dan Robert Ariyo. FOTO Agensi
BERNAMA

Kampala: Mahkamah di Uganda menjatuhkan hukuman penjara 17 tahun terhadap dua lelaki atas kesalahan meracun sehingga mati enam singa di Taman Nasional Ratu Elizabeth.

Tahun lalu, bangkai enam ekor singa ditemui di taman itu di barat daya Uganda dan menjadi tajuk utama di seluruh dunia.

Menurut Agensi Anadolu, kesemua singa itu diracun, kepala dan kaki dipotong dan bangkai dibiarkan untuk menarik burung nasar, yang kemudiannya turut dibunuh oleh pemburu haram untuk bahagian badan mereka.

Berikutan insiden pemburuan haram yang mengerikan itu, kerajaan melancarkan salah satu penyiasatan jenayah hidupan liar yang paling meluas pernah dilihat di Uganda.

Ia menawarkan ganjaran AS$2,500 (RM11,210) untuk sebarang maklumat yang membawa kepada penahanan.

Pasukan petugas yang terdiri daripada Pasukan Polis Uganda (UPF), Pasukan Pertahanan Rakyat Uganda (UPDF) dan pegawai Pihak Berkuasa Hidupan Liar Uganda (UWA) disatukan untuk mencari pelaku dalam usaha melindungi populasi singa Afrika yang semakin berkurangan.

Dua lelaki ditangkap dan mengaku membunuh haiwan itu dan membawa pegawai keselamatan ke lokasi di mana kepala tiga singa ditemui tersorok di dalam pokok dan yang keempat ditanam di bawah pokok yang sama.

Agensi Anadolu melaporkan bahawa Vincent Tumuhiirwe, 49, dan Robert Ariyo, 40, disabitkan bersalah bukan sahaja meracuni singa tetapi juga membunuh 10 burung nasar dan memburu seekor kob, atau antelop, tanpa lesen.

Mahkamah mendengar keterangan daripada 14 saksi.

Kedua-duanya didakwa menggunakan Furadan, racun perosak kimia berbahaya yang digunakan pada tanaman untuk melindungi daripada serangga.

Majistret Gladys Kamasanyu ketika menjatuhkan hukuman berkata negara mendapat sejumlah besar wang melalui pendapatan daripada pelancong yang datang untuk melihat haiwan ini dan wang itu mengalir ke masyarakat dalam bentuk perkongsian hasil setiap tahun.

"Tindakan mementingkan diri sendiri yang membawa kepada kematian singa banyak memberi kesan kepada masyarakat di sekitar taman negara dan negara secara amnya.

"Ini kerana ia menjejaskan pelancongan alam semula jadi, sedangkan pelancongan menyumbang peratusan yang besar kepada ekonomi Uganda. Hasil yang diperoleh daripada pelancongan alam semula jadi dikongsi dalam kalangan masyarakat," katanya.

Timbalan Pesuruhjaya Daerah Gad Rugaaju Ahimbisibwe berkata, suspek mengaku menyembelih singa untuk gigi dan kuku mereka.

"Mereka memberitahu kami ia dilakukan untuk perniagaan. Kepala singa dijual pada harga $10 (RM45), lemaknya dijual pada harga $15 (RM67), dan kuku serta jantungnya dijual pada harga yang boleh dirunding," katanya.

Singa disenaraikan sebagai binatang yang mengalami kepupusan oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam.

Afrika mempunyai dua populasi singa pendaki yang popular di Ishasha di Taman Nasional Ratu Elizabeth di Uganda dan Manyara di Tanzania.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 September 2022 @ 7:20 PM