GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Bernama-Anadolu

Kampala: Sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh apabila dua kenderaan bertembung di Uganda pada Ahad.

Kemalangan itu berlaku kira-kira 8.30 malam waktu tempatan (1730GMT) di jalan Fort Portal Hoima di daerah Kyenjojo, kira-kira 248 kilometer (154 batu) di Kampala, lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan polis.

Ketua kampung Nyasheke Anthony Kalangwa berkata, nahas berlaku selepas sebuah teksi dari bandar Fort Portal bertembung dengan sebuah trak di kawasan kampung Nyasheke, 14 maut di tempat kejadian dan dua yang lain meninggal dunia kemudian.

Kemalangan jalan raya yang meragut nyawa itu kejadian biasa di Uganda kerana pemanduan melulu selain keadaan jalan teruk.

Pada Khamis, Speaker Parlimen Anita Among mengadakan mesyuarat khas dengan polis trafik dan Pihak Berkuasa Jalan Raya Kebangsaan Uganda untuk membincangkan cara mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya, yang meragut lebih daripada 10 orang setiap minggu.

Mesyuarat itu diadakan selepas ahli perniagaan terkenal Apollo Nyegamehe, bekas Ahli Parlimen Charles Angiro Gutmoi dan beberapa yang lain maut dalam nahas jalan raya dalam tempoh seminggu.

Menurut laporan tahunan polis Uganda bagi 2021, sejumlah 17,443 nahas jalan raya berlaku dengan 3,757 membabitkan kemalangan maut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2023 @ 10:36 AM