GURU di Niger mengajar di rumah yang dijadikan sekolah untuk pengajian al-Quran pada 2005. FOTO fail AFP.
GURU di Niger mengajar di rumah yang dijadikan sekolah untuk pengajian al-Quran pada 2005. FOTO fail AFP.
AFP

Niamey (Niger): Sekurang-kurangnya 26 kanak-kanak berusia lima dan enam tahun terkorban selepas kelas diperbuat daripada jerami dan kayu terbakar di selatan Niger.

Insiden pada Isnin itu berlaku tujuh bulan selepas tragedi sama menimpa murid sekolah di tengah bandar ini, yang menyebabkan 20 kematian.

Datuk Bandar Maradi, Chaibou Aboubacar berkata, 13 orang murid lagi cedera dengan empat daripada mereka parah.

Niger yang juga antara negara termiskin di dunia berusaha menampung kekurangan bangunan sekolah dengan membina pondok kayu dan jerami sebagai kelas, manakala murid duduk di atas tanah.

Kebakaran bilik darjah jenis itu biasa berlaku namun, jarang menyebabkan kematian.

Susulan tragedi, negara berkenaan mengisytiharkan tiga hari berkabung di Maradi bermula Selasa.

"Kejadian tragik ini sekali lagi meletakkan penduduk dalam fasa berkabung," menurut kenyataan dikeluarkan kerajaan.

Kenyataan sama turut menyebut pengharaman penggunaan bilik darjah kayu dan jerami di seluruh negara.

Setiausaha Kesatuan Guru Niger, Issoufou Arzika memberitahu AFP bahawa kebakaran itu telah 'memusnahkan' sekolah di Maradi.

Katanya, kesatuan itu sebelum ini pernah memberi amaran kepada pihak berkuasa mengenai bahaya kelas jerami selepas kebakaran Niamey.

"Lebih baik buat kelas di bawah pokok daripada pondok jerami yang diibarat kubur mudah terbakar buat murid," katanya.

Presiden Mohamed Bazoum memberi jaminan akan menggantikan struktur kayu, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 November 2021 @ 12:01 PM