UBAT tiruan makin berleluasa di rantau Afrika. FOTO hiasan
UBAT tiruan makin berleluasa di rantau Afrika. FOTO hiasan
AFP

NIAMEY: Pihak berkuasa Niger merampas 10 tan ubat tiruan selepas menyerbu sebuah makmal pemprosesan yang turut menghasilkan produk kecantikan palsu di Niamey.

Menurut polis, sembilan individu yang langsung tidak mempunyai pengetahuan perubatan turut ditahan dalam serbuan itu, lapor AFP.

“Kita merampas tidak kurang daripada 10 tan ubat tiruan dihasilkan daripada beberapa tanaman tempatan dan pelbagai bahan lain diimport dari luar negara,” kata jurucakap polis, Adily Toro.

Toro berkata, antara produk yang dirampas itu termasuk ‘Dynawell’ untuk membantu wanita menjadi obes dan ubat ‘Bobaraba’ bagi membesarkan payudara dan punggung.

Ubat tiruan menjadi masalah kesihatan besar di negara membangun terutama di Afrika.

Pada 2015, Persatuan Kebersihan dan Ubat Tropika Amerika menganggarkan seramai 122,000 kanak-kanak di bawah usia lima tahun meninggal dunia akibat pengambilan ubat anti-malaria tidak berkualiti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 12:37 PM