Jakarta sediakan tanah perkuburan baharu. FOTO AFP
Jakarta sediakan tanah perkuburan baharu. FOTO AFP
Agensi

Jakarta: Pentadbiran Jakarta sedang membangunkan tanah berkeluasan dua hektar di tanah perkuburan awam di Rorotan, Jakarta Utara bagi menempatkan mangsa Covid-19 berikutan tanah sedia ada di ibu kota itu semakin padat.

Inews Indonesia melaporkan, ketua agensi jalan raya di Jakarta yang diselia oleh Bina Marga, Hari Nugroho berkata, ketika ini pihaknya sedang giat mempersiapkan tanah yang boleh digunakan untuk pengebumian dan turut membangunkan infrastruktur lain yang diperlukan.

"Kami sedang menyediakan tanah dan membangunkan jalan bagi laluan ke tanah perkuburan.

"Setakat ini proses pembinaan baru berjalan empat peratus," katanya.

Agensi itu turut memaklumkan projek yang bermula pada 17 September itu dijangka tamat sepenuhnya Disember ini.

"Kami menjangkakan dua hektar tanah perkuburan ini dapat menempatkan sehingga 6,000 jenazah," katanya.

Pentadbiran Jakarta terpaksa menyediakan tanah perkuburan tambahan berikutan kes Covid-19 di Jakarta terus meningkat namun ruang pengebumian kian terhad.

Sementara itu, pihak pengurusan tanah perkuburan awam Pondok Ranggon di Jakarta Timur, pada 14 September lalu berkata, cuma 1,100 tapak perkuburan yang masih kosong di kawasan berkeluasan 7,000 meter persegi itu.

Kapasiti tanah perkuburan di Jakarta dijangka akan lebih kritikal mulai pertengahan Oktober memandangkan dianggarkan ia cuma dapat menempatkan 380 hingga 400 jenazah.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2020 @ 8:40 PM