Cadang buka 4.05 hektar tanah perkuburan Islam di Bukit Jalil.
Cadang buka 4.05 hektar tanah perkuburan Islam di Bukit Jalil.
Samadi Ahmad


Putrajaya: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) bercadang membangunkan tanah perkuburan Islam baharu di Bukit Jalil bagi menambah bilangan tapak sedia ada.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, ia akan dibangunkan seluas 4.05 hektar dengan pihak itu turut melihat tanah lain yang diwakafkan atau dikhaskan bagi tujuan tanah perkuburan.

Katanya, Jawi ketika ini mengurus Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah (TPIRS) yang boleh menampung jenazah di Kuala Lumpur dengan anggaran 4,000 slot di TPIRS Bukit Kiara; 8,000 slot di TPIRS Taman Selasih; 5,000 slot di TPIRS Kepong dan 1,000 slot di TPIRS Bukit Jalil.

Menurutnya, tanah perkuburan di bawah kariah masjid di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula berjumlah 21 buah dan masih boleh menampung keperluan menerusi 6,000 slot.

"Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan telah membuat ketetapan jenazah yang meninggal kerana Covid-19 di Kuala Lumpur hanya akan dikebumikan di TPIRS Taman Selasih dan TPIRS Bukit Kiara.

"Manakala di Putrajaya, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20 yang di bawah pengurusan Perbadanan Putrajaya yang kini mempunyai lebih 3,000 slot.

"Bagi, pengebumian di tanah perkuburan kariah masjid, ia bergantung kepada kelulusan pihak-pihak berkaitan," katanya dalam kenyataan dimuat naik di Facebook rasminya, hari ini.

Terdahulu, Dr Zulkifli memaklumkan sempat meninjau kerja penggalian kubur yang dilakukan Tokoh Barisan Hadapan Maal Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan, Roslee Ali dan rakannya di TPIRS Taman Selasih di Gombak.

Hadir sama, Pengarah Jawi Datuk Mohd Ajib Ismail.

Sementara itu, beliau berkata, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) meluluskan insentif bulanan RM300 selama enam bulan kepada 204 petugas penggali kubur dan Pasukan Pengurusan Jenazah Covid-19 sebagai menghargai jasa golongan itu.

Katanya, kelulusan bermula Julai lalu yang turut termasuk kakitangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jawi dan Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) dan sukarelawan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Ogos 2021 @ 5:22 PM