FGV Holdings Berhad (FGV).
FGV Holdings Berhad (FGV).
AFP

Washington: Amerika Syarikat (AS) mengharamkan import minyak sawit keluaran FGV Holdings Berhad (FGV), yang produknya di dalam pelbagai produk kegunaan harian di seluruh dunia, akibat dakwaan penindasan pekerja.

Minyak sawit antara bahan utama dalam produk seperti makanan sudah diproses dan kosmetik dan Malaysia adalah negara pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia, selepas Indonesia.

Kedua-dua negara menyumbang kepada 85 peratus bekalan minyak sawit dunia.

Bagaimanapun, aktivis mendakwa industri itu menyebabkan pembersihan hutan untuk membuka tanah pertanian dan penindasan tenaga buruh.

Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS mengumumkan pada lewat Rabu bahawa pihaknya mengharamkan minyak sawit dari FGV, antara pengeluar utama komoditi berkenaan di Malaysia, selepas siasatan selama setahun.

Jurucakap CBP, Brenda Smith berkata, siasatan mendapati bahawa terdapat petunjuk bahawa pekerja ditindas secara fizikal dan seksual, ditakut-takutkan dan gaji mereka ditahan, di samping dakwaan penggunaan tenaga buruh kanak-kanak.

"Penggunaan tenaga buruh paksa dalam industri itu menyebabkan syarikat mengaut keuntungan daripada pekerja yang ditindas.

"Syarikat terbabit menyebabkan persaingan tidak adil untuk mendapatkan sumber sawit dan orang ramai terdedah kepada produk yang tidak mematuhi etika," katanya.

Dengan perintah berkenaan, semua minyak sawit dan produk sawit dikeluarkan oleh FGV dan syarikat berkaitan dengannya tidak dibenarkan untuk dibawa masuk ke AS.

Dalam pada itu, FGV berkata, pihaknya kecewa dengan perkembangan itu sedangkan sudah mengambil langkah konkrit bagi meningkatkan standard operasi, dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Ia termasuk menambah baik kaedah pengambilan pekerja asing, komitmen untuk membayar yuran penggajian tenaga kerja berkenaan dan meningkatkan keadaan tempat tinggal mereka.

"FGV tidak akan bertoleransi terhadap sebarang bentuk pencabulan hak asasi manusia atau kesalahan jenayah dalam operasinya," katanya dalam satu kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2020 @ 4:04 PM