GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Pengurangan elaun penjawat awam dalam mendepani pandemik Covid-19 disambut baik kakitangan kerajaan sebagai solidariti mengukuhkan Akaun Amanah Bencana.

Bagi penjawat awam gred JUSA C, Azman Mahmood, 50, menyifatkan pengurangan Imbuhan Tetap Keraian (ITK) sebagai pengorbanan buat negara.

"Pengurangan ITK sebanyak 10 peratus ini selama tiga bulan sebagai bukti kita sanggup berkorban untuk negara, bangsa dan agama.

"Pengorbanan ini bukan dalam keadaan terpaksa tetapi memang kita sukarela dan sambut baik langkah ini," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras berkata, langkah itu bukan kali pertama dilakukan penjawat awam dan sebelum ini ketika kegawatan ekonomi melanda negara, kakitangan awam juga berkorban menyumbang hampir setahun elaun itu untuk negara.

"Kita faham apa yang berlaku kepada negara ketika ini, ini bukti kami juga sanggup berkorban buat negara.

"Kita menyokong keputusan dibuat Ketua Setiausaha Negara sebagai solidariti penjawat awam menyumbang buat Akaun Amanah Bencana," katanya.

Bagi penjawat awam gred 44 ini, Sholehah Johan, 35, mengalu-alukan langkah kerajaan mengurangkan ITK dengan kadar lima peratus bagi membantu negara dalam tempoh tiga bulan.

"Pengurangan ini tidak begitu dirasai penjawat awam yang masih boleh menikmati gaji berbanding mereka di luar sana yang terkesan dengan pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) ini.

"Kami berbesar hati untuk mengurangkan ITK sebagai solidariti bagi membantu negara," kata ibu kepada tiga cahaya mata itu.

Katanya, pengurangan itu diibaratkan menyumbangkan wang ke dalam tabung masjid dan satu langkah terbaik diputuskan pengurusan tertinggi kerajaan.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali mengumumkan sebahagian ITK bagi pengurusan tertinggi dan Gred 44 hingga Gred 56 serta Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) bagi Gred 29 hingga Gred 41 yang dinikmati oleh penjawat awam ketika ini akan disumbangkan kepada Akaun Amanah Bencana dalam tempoh tiga bulan.

Sumbangan itu membabitkan lebih 800,000 penjawat awam itu bagaimanapun tidak termasuk petugas barisan hadapan serta penjawat awam Gred 1 hingga Gred 28 yang dianggarkan berjumlah lebih RM30 juta.

Selain itu, 50 peratus elaun ITK bagi penjawat awam JUSA A ke atas akan disumbangkan ke dalam tabung berkenaan manakala JUSA B sebanyak 20 peratus serta JUSA C sebanyak 10 peratus.

Bagi gred 44 hingga 56, sebanyak lima peratus dari elaun berkenaan akan disumbangkan.

Selain itu, bagi gred 29 hingga 41, RM10 dari elaun ITKA akan disumbangkan ke dalam tabung itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Jun 2021 @ 4:30 PM