Pemberian khas RM500 seorang dan RM250 kepada pesara membabitkan peruntukan lebih RM645 juta. - Foto NSTP (Fail)
Pemberian khas RM500 seorang dan RM250 kepada pesara membabitkan peruntukan lebih RM645 juta. - Foto NSTP (Fail)

Kuala Lumpur: Seramai 1.6 juta penjawat awam akan menerima pemberian khas 2015 sebanyak RM500 seorang daripada kerajaan esok.

Selain itu, sejuta pesara kerajaan juga akan menerima Pemberian Bayaran Khas RM250 esok.

Menurut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 10 Tahun 2015 yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), pemberian khas itu diberi kepada semua pegawai perkhidmatan awam persekutuan yang berkhidmat pada 2015.

Ia tertakluk kepada syarat pegawai berkhidmat sekurang-kurangnya 30 hari berturut-turut termasuk semua jenis cuti bergaji penuh dan cuti separuh gaji serta hari rehat mingguan, hari kelepasan mingguan dan hari kelepasan am dalam tempoh 1 Januari 2015 hingga 31 Disember 2015.

Pegawai yang layak dibayar pemberian khas itu antaranya ialah pegawai lantikan tetap, sementara, perkhidmatan kontrak dan guru interim serta pegawai bercuti separuh gaji.

Pemberian khas kepada kakitangan awam itu membabitkan peruntukan RM645 juta seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentang Bajet 2016.

Selain itu, bagi menghargai sumbangan dan khidmat bakti penjawat awam, kerajaan juga bersetuju menyediakan RM1.1 bilion untuk memberi faedah pemindahan gaji bersamaan dengan satu kenaikan gaji tahunan mengikut gred kepada semua kakitangannya.

Menurut pekeliling itu, kerajaan juga akan menambah baik 252 skim perkhidmatan untuk 406,000 penjawat awam dan menetapkan gaji permulaan terendah dalam perkhidmatan awam kepada RM1,200 sebulan.

Kadar pencen minimum juga ditetapkan kepada RM950 sebulan membabitkan hampir 50,000 pesara awam dengan sekurang-kurangnya 25 tahun tempoh perkhidmatan. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2016 @ 8:39 PM