Abang Johari Abang Openg
Abang Johari Abang Openg
Mohd Roji Kawi

Kuching: Semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Sarawak akan memotong gaji selama dua bulan untuk disumbangkan kepada Tabung Bencana Sarawak.

Keputusan itu dicapai pada perbincangan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg dengan semua Ahli MMKN Sarawak hari ini dengan potongan gaji antara lima peratus hingga 30 peratus akan bermula bulan ini.

Turut terbabit dalam pemotongan gaji itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta Setiausaha Politik dengan jumlah keseluruhan sumbangan itu dianggarkan mencecah RM3 juta.

Pejabat Ketua Menteri dalam kenyataan hari ini menjelaskan, jumlah tertinggi pemotongan gaji iaitu adalah Ketua Menteri iaitu sebanyak 30 peratus, diikuti Timbalan Ketua Menteri sebanyak 25 peratus, Menteri dan Speaker Dewan Undangan Negeri (20 peratus), Menteri Muda (15 peratus), Adun (10 peratus) dan Setiausaha Politik (lima peratus).

"Kerajaan GPS akan mempertimbangkan untuk meneruskan dan menyambung sumbangan setiap bulan oleh Ahli MMKN, Adun GPS dan Setiausaha Politik kepada Tabung Bencana Sarawak sekiranya pandemik ini berterusan pada masa akan datang," menurut kenyataan itu.

Selain itu, penjawat awam Sarawak juga akan menyumbang sejumlah Imbuhan Tetap Keraian (ITK) mereka selama dua bulan kepada Tabung Bencana Sarawak.

Kadar sumbangan itu akan dibuat mengikut gred jawatan dengan Gred Utama A serta Gred Khas A dan setara ke atas akan menyumbang 50 peratusdaripada ITK yang diterima pada bulan Julai dan Ogos.

Gred Utama B atau Gred Khas B dan setara ke atas pula akan menyumbang 20 peratus daripada ITK yang diterima, Gred Utama C atau Gred Khas C dan setara ke atas sebanyak 10 peratus, Gred 43 hingga 56 dan setara sebanyak lima peratus, manakala Gred 29 hingga 42 dan setara akan menyumbang sebanyak RM10 daripada ITK yang diterima.

Kadar sumbangan itu yang membabitkan hampir 7,000 penjawat awam termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan berkanun negeri dijangka berjumlah RM300,000.

Bagaimanapun, petugas barisan hadapan yang terbabit secara langsung bagi membendung serta pengawalan wabak Covid-19 adalah dikecualikan daripada pemberian sumbangan itu.

Semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sarawak juga diminta untuk turut serta dalam pemberian sumbangan kepada Tabung Bencana Sarawak sebagai komitmen bersama semua pihak dalam menangani pandemik Covid-19.

"Kerajaan GPS akan terus mengutamakan keselamatan dan kebajikan rakyat agar terus terpelihara.

"Usaha yang berterusan dari Kerajaan GPS dengan dokongan padu penjawat awam Sarawak akan diteruskan dalam memerangi pandemik Covid-19 dan semoga sumbangan ini akan sedikit sebanyak membantu kerajaan melalui pelbagai langkah yang dilaksanakan bagi melandaikan keluk jangkitan pandemik Covid-19 di Sarawak," kata kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Jun 2021 @ 4:00 PM