ASHRAF el-Helw membuat pertunjukan singa dari rumahnya.
ASHRAF el-Helw membuat pertunjukan singa dari rumahnya.
Agensi

Kaherah: Sejak perintah berkurung berkuat kuasa di Mesir, seorang pemuda, Ashraf el-Helw, 26, mengambil inisiatif mengadakan pertunjukan singa dalam talian.

Malah, lelaki yang juga pelatih generasi ketiga Singa Mesir itu hanya mengadakan pertunjukan dari dalam apartmen di bandar ini.

LBC News melaporkan Ashraf kini menyiapkan rakaman pertunjukan kedua dan berkata, lebih banyak lagi mahu dilakukan dalam usaha menggalakkan orang ramai duduk rumah.

Video pertama meraih maklum balas memberangsangkan dari penduduk Mesir di media sosial, namun ada juga mempersoalkan cara keluarga pelatih singa terkenal itu melayan haiwan terbabit.

Menurut Ashraf , keluarga singa itu ditempatkan di ladang mereka dari jarak sejam perjalanan .

Singa itu diambil untuk rakaman pertunjukan sebelum dihantar kembali di ladang yang turut menempatkan 40 haiwan lain termasuk monyet.

"Sejak lahir, saya melihat singa di sekeliling," katanya

Menurutnya, dia mengendalikan haiwan bersama adik beradiknya sejak berusia enam tahun dan membuat pertunjukan pada usia 16 tahun.

Keluarga berkenaan membuat pertunjukan sarkas menggunakan singa sejak lebih satu abad.

Nenek Ashraf, Mahassen el-Helw seorang penghibur sarkas terkenal yang memiliki sarkas sendiri dan menjadi pelatih singa wanita pertama Arab.

Namun, di sebalik kehandalan mereka, tragedi berlaku pada 1972 apabila datuknya, Mohammed el-Helw terbunuh akibat dibaham singa di depan penonton.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2020 @ 7:30 AM