FAISAL  dikawal  pemain Penang FC di Stadium Bandaraya. FOTO Bernama
FAISAL dikawal pemain Penang FC di Stadium Bandaraya. FOTO Bernama
Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Kemenangan sulung skuad Harimau Kumbang akhirnya menjelma pada minggu ke-11 aksi Liga Super selepas membenam Terengganu FC, 2-1 di Stadium Bandaraya malam ini.

Penang FC mengejutkan pasukan pelawat seawal minit ke-23 menerusi rembatan rendah Hilal El-Helwe yang juga gol kelima peribadi penyerang import kelahiran Lubnan itu pada saingan Liga Super musim ini.

Memasuki 30 minit tempoh perlawanan skuad Penyu masih tercari-cari peluang menjaringkan gol dengan satu percubaan tepat nyaris membolosi gawang tuan rumah.

Terengganu FC mendapat peluang menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma setelah bek tengah Harimau Kumbang, Rafael Vitor dilayangkan kad kuning pada minit ke-39.

Begitupun, percubaan kapten TFC, Kipre Tchetche tersasar jauh melewati palang gawang tuan rumah manakala dua bek tengah Penang FC iaitu Rafael Vitor dan Khairul Akmal Rokisham tangkas mengekang serangan agresif pelawat.

TFC akhirnya menyamakan kedudukan pada minit ke-48 hasil serangan balas memerangkap pertahanan Penang FC yang menyaksikan Tchetche melarikan bola seterusnya pantas membuat hantaran pendek untuk rakan sepasukan, Faisal Halim yang menguis bola masuk ke gawang gol.

Tidak menunggu lama, Penang FC meledak gol kedua menerusi tandukan T Saravanan pada minit ke-50 sekali gus mengesahkan kemenangan skuad Harimau Kumbang.

Pujian harus diberikan kepada jentera serangan Penang FC kerana tampak cukup tersusun mengatur gaya permainan terutamanya di barisan hadapan yang bagaikan memperoleh kekuatan baharu di bawah bimbingan ketua jurulatih Zainal Abidin Hassan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Jun 2022 @ 11:08 PM