KEDAI kecil berbentuk emoji Mr Poo di hadapan ibu pejabat The Krone Circus di Munich.
KEDAI kecil berbentuk emoji Mr Poo di hadapan ibu pejabat The Krone Circus di Munich.
Agensi

Munich: Disebabkan pandemik Covid-19 yang menghalang pengendali sarkas meneruskan persembahan, satu kumpulan sarkas di sini, mendapat idea unik untuk menambah pendapatan dengan menjual najis singa dan harimau kendalian mereka.

The Krone Circus buntu demi memastikan pendapatan mereka tidak putus dalam tempoh pandemik kerana ia turut menjejaskan perbelanjaan makanan haiwan dalam jagaan mereka.

Maka, mereka mendapat idea untuk menjual najis 26 ekor singa dan harimau pada harga 5 euro sebalang, lapor Oddity Central.

Penjinak singa, Martin Lacey berkata, pada awalnya idea menjual najis itu adalah gurauan sesama mereka, namun tidak menyangka ia mendapat sambutan.

Malah, mereka kini turut membuka kedai kecil berbentuk emoji Mr Poo di hadapan ibu pejabat mereka di Munich.

"Ramai pelanggan beli najis sebagai gurauan kepada rakan, namun rupa-rupanya ada manfaat lain.

"Najis singa dan harimau dipercayai boleh menjadi penghalau haiwan lain seperti kucing dan babi hutan," katanya.

Namun, disebabkan jualan mereka semakin popular, kumpulan aktivis haiwan tampil menentang apa yang mereka lakukan.

Kumpulan itu, Aktionsgruppe mendakwa mereka menghantar sampel najis ke makmal dan mendapati ia mengandungi bakteria yang mengancam nyawa manusia dan haiwan.

Bagaimanapun, Krone Circus berkata, Aktionsgruppe hanya mereka-reka cerita kerana menjadi sasaran mereka sejak sekian lama berikutan tidak berpuas hati dengan aktiviti persembahan haiwan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Ogos 2020 @ 7:45 AM