ANTARA koleksi barangan diperbuat daripada organ dan kulit mangsa tahanan di Buchenwald, Jerman. FOTO Agensi
ANTARA koleksi barangan diperbuat daripada organ dan kulit mangsa tahanan di Buchenwald, Jerman. FOTO Agensi
Agensi

Warsaw: Seorang pengumpul barangan antik di Poland terkejut selepas mendapati kulit album gambar diperbuat daripada kulit, tatu dan rambut manusia.

Gulf News melaporkan individu itu membeli album berkenaan dari sebuah pasar di negara berkenaan.

Dia menyedari sesuatu tidak kena apabila album itu mempunyai bau kurang menyenangkan.

Individu itu menyerahkan album itu ke Muzium Peringatan Auschwitz.

Lebih mengejutkan apabila kakitangan muzium mengesahkan album itu diperbuat daripada kulit dipercayai tahanan di kem tahanan Nazi di Buchenwald, Jerman.

Ketua pengumpulan muzium itu, Elzbieta Cajzer berkata, penggunaan kulit manusia sebagai bahan pengeluaran merujuk kepada jenayah dilakukan wanita Jerman dikenali Ilse Koch di kem berkenaan.

“Wanita itu bersama suaminya mencipta nama dalam sejarah pembunuhan kejam dari kem tahanan Buchenwald,” katanya.

Ilse Koch, isteri komando kem itu dipercayai mengarahkan pembunuhan seorang penghuni penjara lelaki selepas tertarik dengan tatunya.

Laporan sebuah akhbar tempatan, kulit mangsa digunakan dalam pembuatan pelindung lampu, album dan alas meja.

Wanita itu dilaporkan turut menggunakan ibu jari manusia untuk membuat alat penghidup suis lampu.

Dia dikatakan mempunyai hobi pelik kerana turut membuat banyak aksesori menggunakan kulit manusia.

Dia turut melakukan penderaan seksual terhadap mangsa.

Suaminya dihukum gantung pada 1944 manakala wanita itu dijatuhi hukuman penjara pada 1947 kerana jenayah perang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2020 @ 6:00 AM