SEORANG wanita merakam swafoto dengan patung Hitler di sebuah muzium di Yogyakarta sebelum pameran itu ditarik balik. FOTO AFP
SEORANG wanita merakam swafoto dengan patung Hitler di sebuah muzium di Yogyakarta sebelum pameran itu ditarik balik. FOTO AFP
Agensi

Jakarta: Sebuah muzium di sini mengeluarkan patung lilin pemimpin Nazi, Adolf Hitler daripada pameran selepas dikecam pelbagai pihak termasuk dari luar negara.

Muzium Seni Patung De ARCA yang terletak di Yogjakarta itu membenarkan pelawat bergambar bersama patung Hitler dengan gambar latar belakang kem tahanan Auschwitz.

Pameran kontroversi itu dikritik aktivis hak asasi manusia selepas ia diterbitkan di media asing.

Muzium itu mempamerkan patung lilin bersaiz sebenar Hitler berdiri di hadapan foto besar pintu pagar Auschwitz - kem tahanan terbesar Nazi di mana 1.1 juta orang dibunuh.

Pengurus operasi muzium terbabit, Jamie Misbah berkata, patung lilin itu dikeluarkan selepas pihaknya dimaklumkan mengenai kritikan daripada kumpulan hak asasi manusia.

“Kami bukan mahu mengundang kemarahan. Tujuan kami mempamerkan patung Hitler itu adalah untuk mendidik,” kata Jamie.

Patung Hitler itu antara kira-kira 80 patung lilin lain termasuk pemimpin dunia dan selebriti yang dipamerkan di pusat lilin serta kesan visual itu.

Pameran bertemakan Nazi adalah tarikan popular untuk pelawat mengambil swafoto.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2017 @ 4:52 AM