AFP

KEPUTUSAN Putera Harry dan isterinya, Meghan ‘meletakkan jawatan’ sebagai keluarga diraja Britain menenggelamkan berita berkaitan krisis di Iran dan Brexit khususnya di kalangan media di Britain.

Tindakan berkenaan yang diberi jolokan sebagai ‘Megxit’ mendapat liputan meluas media di negara berkenaan dengan setiap akhbar menggunakan isu itu sebagai tajuk utama.

Petang semalam, Harry dan Meghan membuat pengumuman di media sosial mengenai pengunduran mereka daripada tugas rasmi.

Media melaporkan Duke dan Duchess of Sussex itu tidak berunding terlebih dahulu dengan bapanya, Putera Charles dan Ratu Elizabeth II mengenai keputusan mereka itu.

Berita mengejutkan itu susulan pengakuan pasangan itu sebelum ini yang berdepan tekanan liputan media dan dakwaan hubungan dingin dengan Putera Charles.

Harry berharap, pengunduran itu memberikan mereka ruang berdikari dan membangunkan pertubuhan amal baru di samping meneruskan sebahagian daripada tugas rasmi istana.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 January 2020 @ 9:25 PM