LEBIH 1,000 komputer peribadi dan 10,000 kad SIM telefon bimbit ditemui polis dalam serbuan itu. FOTO hiasan
LEBIH 1,000 komputer peribadi dan 10,000 kad SIM telefon bimbit ditemui polis dalam serbuan itu. FOTO hiasan
AFP

ULAANBAATAR: Polis Mongolia menahan seramai 800 lelaki warga China serta merampas ratusan cakera keras untuk penyiasatan pengubahan wang haram, kelmarin.

Serbuan dilakukan di empat lokasi berbeza di Ulaanbaatar membabitkan pejabat dan hotel yang menjadi tempat kerja dan tinggal lelaki berkenaan.

Ketua Pengarah Pihak Berkuasa Perisikan Umum Mongolia, Gerel Dorjpalam berkata lebih 1,000 komputer peribadi dan 10,000 kad SIM telefon bimbit turut ditemui polis dalam serbuan itu.

Polis mempercayai operasi pengubahan wang haram itu membabitkan perjudian dalam talian.

Lelaki berkenaan tiba di Mongolia pada Ogos lalu menggunakan visa pelancongan dan mereka akan dihantar pulang ke China.

Polis berkata, tindakan itu berikutan Mongolia tiada kemudahan sesuai untuk menampung seramai 800 orang.

Hanya pengendali pengubahan wang haram itu yang terdiri daripada empat warga China dan seorang lelaki Mongolia disiasat.

Susulan itu, kedutaan China bersetuju untuk memberi kerjasama dalam siasatan kes terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Oktober 2019 @ 9:49 PM