PEGAWAI imigresen menunjukkan ruangan kalis bunyi yang digunakan  suspek untuk menelefon mangsa. - Bangkok Post
PEGAWAI imigresen menunjukkan ruangan kalis bunyi yang digunakan suspek untuk menelefon mangsa. - Bangkok Post

Bangkok: Polis Thailand menangkap 44 individu dari China dan Taiwan kerana terbabit dalam sindiket penipuan yang menipu lebih 100 mangsa dengan kerugian berjumlah AS$3 juta (RM13 juta).

Kumpulan terancang itu yang ditangkap dalam serbuan di beberapa rumah di Bangkok dan Pattaya menyasarkan pelanggan di China.

Polis turut menemui ruangan kalis bunyi yang digunakan untuk menelefon mangsa yang dipilih secara teliti.

Terdapat kira-kira 120 mangsa yang ditipu membabitkan kerugian mencecah AS$3 juta.

Seramai 19 suspek adalah warga China dan 25 lagi rakyat Taiwan.

Suspek menyamar sebagai polis, pegawai bank atau penyiasat jenayah pengubahan wang haram dan menghubungi mangsa melalui telefon.

“Mereka memberitahu mangsa bahawa akaun bank mereka dibekukan kerana digunakan dalam aktiviti jenayah seperti mengedar dadah.

“Suspek memujuk mangsa memindahkan wang mereka ke dalam akaun tertentu untuk menyelesaikan masalah berkenaan,” kata jurucakap Imigresen, Natthathorn Prousoontorn.

Menurutnya, setiap suspek memainkan pelbagai peranan, ada yang berlakon sebagai polis dan pegawai bank untuk memperdayakan mangsa. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Julai 2017 @ 10:58 AM