MAYAT 39 pendatang ditemui dalam sebuah lori kontena di kawasan industri di Grays, timur London. FOTO Agensi
MAYAT 39 pendatang ditemui dalam sebuah lori kontena di kawasan industri di Grays, timur London. FOTO Agensi
Agensi

LONDON: “Saya bagaikan boleh mendengar jeritan mereka sebelum mati, boleh rasa mereka sengsara pada hujung nyawa,” kata Ahmad Al-Rashid, pendatang yang menempuh perjalanan 55 hari ketika diseludup memasuki Britain, mengulas mengenai tragedi penemuan 39 mayat dalam kontena di sini, kelmarin.

Penemuan mayat pendatang di London itu, mengimbau kembali pengalaman Ahmad ketika melarikan diri dari Syria untuk mencari kehidupan baru di Britain pada 2015.

“Saya boleh rasa apa yang dilalui mereka,” kata Ahmad Al-Rashid di Twitter.

Ahmad pernah muncul dalam dokumentari BBC selepas dia membuat rakaman video perjalanannya bersama pendatang lain yang menyeludup masuk ke Britain.

“Saya sangat bertuah dan bernasib baik kerana selamat. Mereka yang kurang bernasib baik meninggal dunia ketika dalam perjalanan,” katanya.

Menurut laporan news.com.au semalam, Ahmad berkata, penemuan mayat yang dipercayai pendatang itu membuatkan dia mengimbau kembali pengalaman disumbat ‘sehingga hampir mati’ dalam lori, tangki dan kontena sejuk beku bersama ayam dan daging.

AHMAD merakamkan video perjalanannya menaiki lori untuk menyeludup masuk ke Britain pada 2015. FOTO Agensi
AHMAD merakamkan video perjalanannya menaiki lori untuk menyeludup masuk ke Britain pada 2015. FOTO Agensi

“Kami dimasukkan ke dalam kontena sejuk beku selama dua jam hingga tidak boleh bernafas. Ia sangat sejuk.

“Kami mengetuk dinding dan nasib baik tidak lama selepas itu, penyeludup membuka pintu membolehkan kami keluar.

“Saya boleh bayangkan apa mereka alami kerana melalui pengalaman saya, kita boleh melihat kematian itu,” katanya.

Reuters melaporkan, Kementerian Luar China mengesahkan 39 mayat yang ditemui di Essex, London, itu adalah rakyatnya. Polis masih belum menyatakan jantina mereka namun 38 adalah dewasa dan seorang remaja.

Polis Britain menyerbu dua rumah di Ireland Utara dalam siasatan pembunuh terbesar di United Kingdom itu serta berkerjasama dengan pihak berkuasa Belgium dan Bulgaria untuk mengenal pasti rangkaian sindiket penyeludupan manusia itu.

“Perkara pertama terlintas di fikiran apabila membaca berita itu, ialah keluarga dan orang tersayang mereka.

“Ia tragik, kejadian amat tragik,” kata Ahmad yang berasal dari Aleppo, kepada Channel 4 News, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Oktober 2019 @ 7:18 AM