GAMBAR  menunjukan Lowe memujuk Granados-Diaz di depan kelas sebelum memeluknya, manakala seorang guru lain mengambil senapangnya. FOTO Agensi
GAMBAR menunjukan Lowe memujuk Granados-Diaz di depan kelas sebelum memeluknya, manakala seorang guru lain mengambil senapangnya. FOTO Agensi
Agensi

PORTLAND (Amerika Syarikat): Tindakan seorang guru menenangkan pelajar yang membawa senapang ke Sekolah Tinggi Parkrose, Portland, selepas kecewa putus cinta dengan memeluknya menyelamatkan remaja itu yang mahu membunuh dirinya dalam kelas.

Kejadian itu berlaku 17 Mei lalu, namun rakaman CCTV muncul di media sosial baru-baru ini, menunjukkan guru berkenaan yang juga jurulatih bola sepak Amerika sekolah itu, Keanon Lowe, 27, menenangkan remaja itu sebelum memeluknya di luar kelas manakala seorang guru lain mengambil senapangnya.

Khamis lalu, mahkamah mengarahkan Granados-Diaz, 19, diletakkan di bawah pengawasan selama 36 bulan selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan memiliki senjata dalam bangunan awam dan memiliki senjata berisi peluru di tempat awam.

Mahkamah turut memerintahkannya menjalani pemeriksaan kesihatan mental mengikut keperluannya.

Sisatan mendapati Granados-Diaz yang menghadapi masalah mental tidak mahu membunuh dirinya di rumah kerana tidak mahu melakukan perbuatan itu dekat ibunya.

Rakan-rakannya mendakwa Granados-Diaz tertekan akibat kesunyian selepas berpisah dengan teman wanitanya.

Dalam rakaman itu, Lowe dilihat memujuk Granados-Diaz sebelum jurulatih berkenaan memeluknya membawanya jauh dari pintu kelas sebelum mengambil senapang dipegang remaja itu dan menyerahkannya kepada guru lain.

Menurut pegawai pelajaran daerah Parkrose, Michael Lopes-Serao, pelajar memaklumkan kepada pihak sekolah mengenai Granados-Diaz membawa senjata api.

Menurut Lowe, dia dipanggil menerusi sistem pembesar suara untuk ke sebuah kelas bagi memujuk remaja itu.

“Ketika saya memujuk dan cuba mengambil senapang dibawanya, puluhan pelajar lain bertempiaran lari menyelamatkan diri.

“Situasi itu penuh emosi saya dan juga dia. Saya bersimpati dengannya. Ada kalanya kita tidak sedar tindakan yang kita cuba lakukan, terutama ketika muda,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 11:32 AM