AKTIVIS Papua ketika menunjuk perasaan di Jakarta untuk menuntut kemerdekaan Papua Barat, semalam. - EPA
AKTIVIS Papua ketika menunjuk perasaan di Jakarta untuk menuntut kemerdekaan Papua Barat, semalam. - EPA
AP

Jakarta: Polis Indonesia menahan ratusan aktivis prokemerdekaan Papua semalam menjelang tunjuk perasaan di seluruh negara untuk menuntut kemerdekaan wilayah itu.

Tunjuk perasaan diadakan di sekurang-kurangnya 15 tempat dengan tangkapan dibuat di Sulawesi, Jawa dan Papua, kata Veronica Koman yang juga peguam seorang aktivis, Filep Karma.

Polis di Jakarta sebelum ini memberi amaran kepada penganjur supaya tidak mengadakan tunjuk perasaan tetapi kemudian memberi kelonggaran dengan membenarkan kira-kira 50 orang berarak di jalan utama di bandar raya itu.

Semalam ialah ulang tahun ke-55 perisytiharan rasmi kempen tentera Indonesia untuk menguasai Papua Barat dari Belanda.

Penjajah Belanda terus menguasai Papua Barat selepas kemerdekaan Indonesia, sebelum ia menjadi sebahagian daripada republik berkenaan susulan pungutan suara yang dipantau Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1969.

Penyokong kemerdekaan untuk Papua Barat mendesak supaya pungutan suara kedua diadakan.

Sementara itu, seorang penunjuk perasaan Anthony Gobai turut berucap dalam perhimpunan di Jakarta yang dikawal puluhan anggota polis.

“Yang menjadi saudara kami ialah orang Melanesia.

“Bukan kamu. Kamu orang Asia,” katanya.

Sementara itu, penduduk tempatan yang turut menyertai protes itu melutut dan meminta maaf kepada penduduk Papua Barat atas pemerintahan kerajaan Indonesia di kawasan yang terlalu berbeza dari segi budaya dan bangsa etnik berbanding penduduk lain negara itu.

Lebih 5,000 orang ditahan dalam bantahan prokemerdekaan sejak April lalu.

Menurut Veronica, beberapa orang ditahan minggu lalu ketika memohon permit untuk mengadakan tunjuk perasaan sementara pejabat Jawatankuasa Kebangsaan Papua Barat di Jayapura, ibu negeri wilayah Papua, mengalami kerosakan selepas diserbu polis, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2016 @ 9:47 AM