SEORANG doktor tentera merawat  kanak-kanak yang sakit di sebuah pusat perubatan di Asmat di wilayah Papua, Indonesia. - AFP
SEORANG doktor tentera merawat kanak-kanak yang sakit di sebuah pusat perubatan di Asmat di wilayah Papua, Indonesia. - AFP

Jakarta: Wabak campak dikhuatiri membunuh kira-kira 100 penduduk yang kekurangan zat makanan di wilayah Papua, kata pegawai semalam.

Jurucakap tentera Papua, Muhammad Aidi berkata, seramai 69 kanak-kanak meninggal dunia di wilayah terpencil Asmat, manakala laporan lain menunjukkan 27 orang maut di daerah pergunungan, Oksibil.

“Kami menerima laporan daripada penduduk kampung wabak itu turut melanda daerah Oksibil dan kakitangan kami mengesahkannya. Tetapi kami masih perlu memeriksa berapa ramai yang mati.

“Campak tidak berbahaya, ia penyakit yang ringan. Tetapi kerana kanak-kanak itu kekurangan zat, mereka tidak dapat bertahan,” kata Muhammad Aidi.

Menurutnya, kerajaan dan tentera sudah menghantar pasukan perubatan serta menyalurkan ubat, vaksin, peralatan perubatan dan makanan berkhasiat di Asmat.

Bagaimanapun, bantuan itu tidak dapat tiba di Oksibil sehingga Isnin nanti (hari ini) memandangkan kawasan itu sukar dimasuki.

Kedua-dua kawasan itu mengalami masalah kekurangan doktor, kemudahan kesihatan, selain rangkaian infrastruktur dan komunikasi yang teruk, menyebabkan berita mengenai wabak itu lambat diketahui.

Kira-kira 129,000 orang tinggal di Asmat, kawasan berpaya yang hanya boleh diakses dengan kapal terbang, helikopter dan bot dari ibu negeri Papua, Jayapura.

Sementara daerah Oksibil hanya mempunyai 4,000 penduduk. Untuk pergi ke perkampungan di daerah itu, mereka perlu berjalan kaki yang mengambil masa sehari. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2018 @ 11:00 AM