JARUM sepanjang 7 sentimeter ditemui di dalam jantung seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun. FOTO Weibo
JARUM sepanjang 7 sentimeter ditemui di dalam jantung seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun. FOTO Weibo
Agensi

BEIJING: Doktor di sebuah hospital di China dikejutkan dengan penemuan sebatang jarum sepanjang 7 sentimeter di dalam jantung seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun selepas dia mengadu sakit dada dan dibawa ke hospital untuk pemeriksaan.

South China Morning Post yang memetik Thepaper.cn melaporkan, kanak-kanak itu mula berasa sakit pada minggu lalu dan dibawa ke Hospital Kanak-Kanak Harbin, di wilayah Heilongjiang.

Doktor di hospital itu mengesyaki dia diserang miokarditis tetapi hasil ujian darah bertentangan dengan diagnosis namun imbasan CAT mengenal pasti punca masalah.

Rawatan sukar dijalankan kerana jarum itu bergerak serentak dengan denyutan jantung dan kanak-kanak itu terpaksa menjalani dua pembedahan untuk membuang objek berkenaan. Menurut laporan, dia kini dalam rawatan intensif kerana keadaannya tidak stabil.

Kanak-kanak itu yang juga pelajar angkat berat di sebuah sekolah sukan di Yichun, memberitahu doktor dia tidak tahu bagaimana jarum boleh masuk ke dalam sistem badannya.

Doktor berkata, tidak mungkin pelajar itu menelan jarum kerana kemungkinan besar ia akan berada di dalam saluran udara. Malah, telahan ia dimasukkan melalui kulit dan bergerak ke dalam hatinya juga tidak benar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 September 2019 @ 5:51 PM