PENUNJUK perasaan bertindak membakar tayar serta bangunan Parlimen hari ini selepas membantah penahanan sekumpulan pelajar mereka. FOTO  REUTERS
PENUNJUK perasaan bertindak membakar tayar serta bangunan Parlimen hari ini selepas membantah penahanan sekumpulan pelajar mereka. FOTO REUTERS
Reuters

JAKARTA: Penunjuk perasaan di timur wilayah Papua bertindak membakar tayar serta bangunan Parlimen hari ini selepas membantah penahanan sekumpulan pelajar mereka.

Reuters yang memetik beberapa aktivis berkata, pelajar terbabit ditahan di Surabaya, Jawa Timur kerana membengkok tiang bendera di hadapan bilik asrama ketika Indonesia menyambut Hari Kemerdekaan kelmarin.

Salah seorang aktivis, Albert Mungguar berkata, polis melepaskan gas pemedih mata ke dalam bilik asrama terbabit sebelum menahan 43 pelajar selain mendakwa mereka dipanggil ‘monyet’ oleh pihak berkuasa.

Menurut Timbalan Gabenor, Mohamad Lakotani, penunjuk perasaan itu membakar bangunan Parlimen, tayar dan ranting kayu serta menutup jalan di ibu kota Papua Barat, Manokwari.

“Pusat bandar, pasar, pusat beli-belah berada di sebelah bangunan Parlimen. Semuanya terjejas dan ia melumpuhkan seluruh bandar ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 1:14 PM