DUA wanita  menyertai latihan menembak bagi mendapatkan lesen membawa senjata api di tempat awam. FOTO Reuters
DUA wanita menyertai latihan menembak bagi mendapatkan lesen membawa senjata api di tempat awam. FOTO Reuters
Reuters

El Paso (Amerika Syarikat): Semakin ramai penduduk di El Paso menyertai latihan menembak bagi mendapatkan lesen membawa senjata api di tempat awam selepas kejadian tembakan baru-baru ini di bandar itu yang meragut 22 nyawa.

Seorang suri rumah, Guadalupe Segovia, 35, membawa dua anaknya ketika menyertai latihan menembak.

Katanya, suaminya yang juga seorang askar sudah lama mendesaknya mendapatkan lesen membawa senjata api yang disembunyikan.

Lesen itu membenarkan seseorang itu membawa pistol yang disembunyikan di sebalik pakaian atau di dalam beg tangan ketika berada di tempat awam.

Segovia berkata, dia berasa perlu segera menyertai latihan wajib berkenaan sebelum mendapatkan lesen selepas serangan berhampiran rumahnya itu.

“Saya masih takut walaupun membawa senjata,” katanya.

Majoriti yang menyertai latihan itu adalah orang Latin Amerika yang juga majoriti penduduk di El Paso.

Polis berkata, penyerang yang melepaskan tembakan di pasar raya Walmart itu mensasarkan orang Latin.

Pengurus sebuah kedai senjata terbesar di El Paso, Michael McIntyre yang mengendalikan latihan berkenaan berkata, jualan senjata di kedainya meningkat dua kali ganda susulan serangan berkenaan.

“Kebanyakan pelanggan membeli pistol yang boleh disembunyikan di betis atau di dalam baju,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Ogos 2019 @ 7:22 AM