RIKO cedera di muka terkena tembakan seorang penyerang misteri. FOTO Agensi
RIKO cedera di muka terkena tembakan seorang penyerang misteri. FOTO Agensi
Agensi

WELLINGTON: Polis di sebuah pekan kecil di New Zealand menjalankan siasatan untuk memburu seorang penyerang misteri yang menembak beberapa ekor kucing peliharaan di kawasan itu.

Dalam satu kejadian terbaru, seekor kucing ditemui dalam keadaan berlumuran darah selepas kepalanya ditembak dipercayai menggunakan raifal di pekan Prebbleton berhampiran Christchurch.

Pemiliknya, Emilia Petronelli berkata, dia pulang ke rumah pada 10 Jun lalu dan menemui kucing peliharaannya yang dikenali sebagai Riko cedera di bahagian muka.

“Badannya penuh dengan darah dan pada mulanya saya ingat matanya terkeluar. Badan Riko juga mempunyai beberapa kesan kecederaan dan luka.

“Saya membawa Riko ke klinik haiwan dan terkejut apabila diberitahu kucing itu ditembak tiga kali,” katanya kepada Daily Mail Australia.

Ujarnya, Riko menjalani beberapa pembedahan untuk mengeluarkan peluru dan kucing itu sangat bernasib baik kerana masih hidup.

Jurucakap Persatuan Pencegahan Kekejaman terhadap Haiwan, Jessie Gilchrist memberitahu, kejadian tembakan terhadap Riko itu adalah kejadian yang ketiga dilaporkan di Prebbleton.

Sementara itu, polis dilaporkan menyoal siasat seorang lelaki tetapi tidak mempunyai bukti kukuh untuk mendakwanya.

PEMILIK kucing Emilia Petronelli dan Cody Hayton. FOTO Agensi
PEMILIK kucing Emilia Petronelli dan Cody Hayton. FOTO Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2019 @ 10:42 AM