PUSAT perlindungan kucing untuk haiwan terbiar. FOTO Syed Ismail Syed Abu Bakar
PUSAT perlindungan kucing untuk haiwan terbiar. FOTO Syed Ismail Syed Abu Bakar
Zaitie Satibi

TELUK Bahang antara destinasi pelancongan popular di Pulau Pinang berikutan terdapat beberapa tempat menarik selain pantai yang boleh dikunjungi. Antara tempat yang sering menjadi pilihan pelancong tempatan mahupun luar negara adalah Taman Rimba Teluk Bahang, taman tema The Escape, Taman Negara Teluk Bahang dan Pantai Kerachut.

Biarpun Teluk Bahang memiliki banyak tarikan alam semula jadi, ia turut menawarkan lokasi percutian unik iaitu Pantai Kucing di perkampungan nelayan Jalan Telok Awak yang dihuni lebih 250 kucing.

Pantai Kucing atau turut digelar sebagai Cat Beach dalam kalangan pelancong adalah pusat perlindungan kucing yang diilhamkan seorang pencinta kucing dari Amerika Syarikat, Teviot Fairservis bersama rakannya seorang nelayan, Nana Abdullah untuk membela nasib haiwan itu yang terbiar di pantai berkenaan.

PELANCONG bermain dengan kucing.
PELANCONG bermain dengan kucing.

Pada asalnya, Nana yang lebih dikenali sebagai Papa Kucing memelihara 10 kucing yang diambilnya dari tepi jalan. Kucing terbabit dikatakan sering menunggu Nana pulang dari menangkap ikan untuk menikmati sedikit hasil laut itu.

Selain kucing jalanan yang lazim menanti nelayan menghulurkan sedikit ikan, Nana turut menerima kucing yang dihantar orang ramai sama ada untuk dirawat akibat cedera atau diselamatkan dari pasar.

Kucing yang dipelihara di kawasan perkampungan nelayan berhampiran pantai itu lama-kelamaan bertambah banyak. Ia juga dilepas bebas, begitu mesra dan manja sehingga menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara yang tertarik dengan telatah haiwan comel itu.

SAYANG kucing dorong Teviot (berdiri) dan Nana buka Cat Beach.
SAYANG kucing dorong Teviot (berdiri) dan Nana buka Cat Beach.

Pelancong yang datang ke pantai ini boleh bermain-main dengan kucing sambil bersantai menghirup bayu laut. Pastinya anda tidak mahu lepaskan peluang untuk membelai kucing berkenaan jika berkunjung ke Pantai Kucing.

Pusat perlindungan kucing yang beroperasi dengan dana sumbangan orang ramai sejak 2011 bukan hanya dijadikan penempatan kucing yang diselamatkan, sebaliknya turut menjadi tempat yang boleh mendidik orang ramai mencintai haiwan.

TELATAH si comel undang pelancong.
TELATAH si comel undang pelancong.

Lebih istimewa, pelancong yang berkunjung ke Pantai Kucing juga boleh menjadi sukarelawan dan membantu menjaga tempat berkenaan serta menyediakan keperluan haiwan itu. Selain bermain dengan kucing, pelancong berpeluang merapi kucing di spa kucing dan melihat bagaimana haiwan itu dirawat.

Pantai Kucing ini pernah dikunjungi Hannah Shaw iaitu penyelamat kucing terkenal dari Amerika Syarikat. Hannah yang mendapat jolokan Kitten Lady juga seorang selebriti televisyen yang mempunyai program sendiri dan sering dijemput berceramah mengenai penjagaan kucing.

Orang ramai yang berkenan dengan mana-mana kucing di Pantai Kucing itu boleh membawa pulang haiwan berkenaan menerusi program kucing angkat yang diadakan setiap hujung minggu.

PANTAI Kucing di Teluk Bahang tarik pelancong.
PANTAI Kucing di Teluk Bahang tarik pelancong.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 11:36 AM