Suliati Asri


PEKAN, Pahang punya keunikan dan tarikan tersendiri yang boleh diteroka. Bermula dari asal usul namanya, beranjak ke tinggalan sejarah sehingga lokasi menjamu selera.

Nama Pekan diambil dari sejenis bunga yang banyak tumbuh di tebing-tebing sungai Pahang. Ia terletak 44 kilometer dari bandar Kuantan dan mengambil masa lebih kurang 30 minit perjalanan.

Pekan juga terkenal dengan jolokan Bandar Di Raja, kerana terletaknya Istana Sultan Pahang serta kerabat Di Raja negeri ini.

Apapun asal usul namanya, Pekan nyata destinasi percutian yang bukan saja menawarkan pelbagai tarikan menarik tetapi punya ‘permata’ tersembunyi yang tidak diketahui ramai.

Jom kita selusuri tempat-tempat menarik di sini.

1. Keunikan Tenun Sutera Pahang


Pekan sememangnya terkenal dengan hasil tenun yang bukan saja halus pembuatannya tetapi juga menawarkan pelbagai jenis corak dan fabrik yang menarik.

Kompleks Kampung Budaya Pulau Keladi yang merangkumi Pusat Tenunan Sutera Pahang adalah destinasi utama bagi pengunjung yang ingin melihat sendiri bagaimana kain tenun dihasilkan dari awal hingga siap.

Hasilnya yang cantik itu boleh dibeli secara terus atau membuat tempahan terlebih dahulu dengan memilih pelbagai jenis corak kain yang disediakan.

Mengunjungi Galeri Tun Teja di Muzium Sultan Abu Bakar juga nyata tidak mengecewakan terutama anda yang mencintai hasil kraf yang unik dan halus pembuatannya.

Di dalam galeri ini dipamerkan rekaan baju diperbuat daripada kain tenun dan direka oleh pereka terkemuka negara. Sesuatu yang menarik perhatian di galeri ini bukan saja rekaan atau perincian setiap baju tetapi kain tenun yang digunakan. Pelbagai warna, rekaan dan corak yang sememangnya cukup mengujakan.

2. Bangunan bersejarah punya penceritaan tersendiri


Bandar Diraja ini juga terkenal dengan tinggalan sejarahnya terutama bangunan lama seperti Muzium Sultan Abu Bakar, Muzium Masjid Sultan Abdullah dan Rumah kelahiran Tun Abdul Razak.

Bagi yang meminati sejarah Pahang, Muzium Sultan Abu Bakar pastinya tidak mengecewakan dengan pelbagai galeri artifak, seramik, arkeologi dan kesenian.


Muzium Masjid Sultan Abdullah juga terkenal dengan gelaran ‘Taj Mahal’ Pekan dek warnanya putih, struktur binaannya yang unik dan kolam air di pekarangan masjid membuatkan ia kelihatan seperti klon kepada salah satu keajaiban dunia, Taj Mahal.

Turut dikenali sebagai Masjid Putih, masjid ketiga terawal di bandar Pekan ini dibina dengan reka bentuk 'Moorish’ dan berkonsepkan muzium dalam taman.

Muzium ini mengandungi pelbagai komponen seperti ruang pameran, ruang solat, ruang diskusi dan ilmiah dengan mengetengahkan tiga segmen utama iaitu Sumbangan Islam dalam Tamadun Dunia, Islam di Pahang dan Koleksi Diraja.

Rumah Kelahiran Tun Abdul Razak juga nyata menggamit hati. Terletak di Kompleks Kampung Budaya Pulau Keladi, rumah ini adalah rumah yang dibina semula mengikut reka bentuk asalnya oleh tukang yang mahir.

3. Menyusuri Sungai Pahang

Senyum yang terukir tatkala melihat jala yang ditarik ke atas bot penuh dengan hasil terutama udang galah jelas menggambarkan kegembiraan buat nelayan. Hasil yang tidak sampai sejam dua ditangkap itu pula sudah ada pembelinya. Hilang segala penat lelah di pagi itu.


Sungai Pahang sememangnya kaya dengan hasil terutama udang galah serta pelbagai ikan sungai. Mengikuti aktiviti menyusur sungai Pahang ini juga membawa pengunjung melihat sendiri perkampungan Kemboja yang menghuni pesisir sungai selain aktiviti harian mereka yang mengusahakan ikan sangkar.


Sesuatu yang pastinya mengujakan saat mengikuti aktiviti menyusuri Sungai atau River Cruise ini adalah Pulau Kucing atau Meaw Island.

Berada di pulau ini bagai memberi satu kedamaian. Kucing-kucing terbiar yang dihantar ke pulau itu hidup bebas di kawasan yang dibangun begitu cantik.


Di sini, tersedia tempat khusus buat pengunjung yang datang untuk bermesra dan melayan kerenah kucing-kucing yang ada serta pelbagai aktiviti lain termasuk meredah hutan.

4. Riadah di Pekan

Aktiviti riadah juga tidak kurang pentingnya tatkala bercuti terutama di hujung minggu. Ini kerana, keletihan melakukan pelbagai aktiviti dapat dihilangkan sedikit dengan menghirup udara segar dan melakukan pelbagai aktiviti riadah walau hanya sekadar bersiar-siar.

Pekan Riverfront dahulunya hanya pulau kecil namun kini menjadi tumpuan bukan saja penduduk tetapi penganjur yang ingin mengadakan pelbagai acara selepas dibangunkan kembali.


Ia kini menjadi lokasi beriadah seisi keluarga dan lokasi bersantai bersama rakan sambil menikmati pemandangan indah.

Bagi yang ingin bersenam atau membawa sekadar menghirup udara segar, Taman tasik Sultan Abu Bakar tidak mengecewakan. Ia taman awam terletak di sepanjang jalan utama yang melalui bandar Pekan-Kuantan.

Taman ini mempunyai tasik buatan manusia di tengah taman dan di dalam kawasan taman ini terletak Pusat Sukan Komuniti dan Pusat Penerangan Pelancongan.

Ingin merasai kelembutan bayu laut di petang hari? Pantai Air Leleh adalah destinasinya.

Walau pasir pantainya tidak sejernih di pulau-pulau terkemuka di negeri Pahang ini, angin yang bertiup lembut dan panorama indah matahari terbenam di Pantai Air Leleh nyata memberikan penutup hari yang mendamaikan.

5. Pekan Sari, Pekan

Dari pandangan kasar atau setengah orang, Pekan Sari atau Pekan Sehari adalah pekan yang menjual pelbagai barangan keperluan harian penduduk sekitar.


Namun, Pekan Sari terletak di pinggir Sungai Pahang dekat Kuala Semantan ini juga punya tarikan tersendiri terutama makanan tradisionalnya iaitu kuih Qasidah, Suji, Apam Baghdad, lemang periuk kera dan banyak lagi.


Pilihan sayur kampung seperti pucuk paku, rebung serta ikan sungai segar dan udang galah juga nyata mengujakan pengunjung.

Selain bahan makanan, pengunjung juga boleh mendapatkan pelbagai jenis barangan lain seperti pakaian, ubat-ubatan tradisional dan keperluan rumah di pasar yang sudah beroperasi lebih 80 tahun.

6. Enaknya hidangan Bandar Diraja

Menjamu selera juga adalah daya tarikan sesebuah destinasi percutian dan Pekan juga tidak kurang hebatnya.

Mengunjungi Warung Pekan Lama untuk hidangan makan tengah hari pasti tidak mengecewakan terutama bagi penggemar ikan patin dan makanan kampung lain.


Usai makan tengahari, ‘pekena’ semangkuk cendol biasa atau pulut sebagai pencuci mulut melengkapkan hidangan tengahari di Pekan.

Murtabak Mengkasar juga hidangan yang harus di cuba. Ia punya keenakan tersendiri dan lebih tebal berbanding murtabak biasa kerana memiliki tiga lapisan tebal berinti daging dengan 21 jenis rempah-ratus berkualiti dan dimasak garing.

Bagi yang sukakan keju, murtabak Mengkasar ‘special’ memberikan anda rasa keju yang enak dan tidak memuakkan sekali gus membuatkan anda makan sehingga menjilat jari.

Untuk makan malam pula, Medan Ikan Bakar Di Kuala, menghidangkan pelbagai makanan panas termasuk tom yam, ikan laut pelbagai masakan dan banyak lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2019 @ 9:25 AM