TRUMP umum batal rancangan serang Iran.
TRUMP umum batal rancangan serang Iran.
Agensi

Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump hari ini mengumumkan dia membatalkan rancangan untuk menyerang Iran kerana jangkaan kematian seramai 150 orang sebagai balasan yang tidak setimpal dengan tindakan Teheran menembak jatuh dron negara itu.

Iran menembak jatuh dron itu kerana didakwa menceroboh ruang udaranya tetapi dinafikan Washington sekali gus meningkatkan ketegangan antara kedua-dua negara selepas siri serangan terhadap kapal tangki minyak yang dituduh AS dilakukan Teheran.

Trump yang berdepan tekanan untuk memberi penjelasan mengenai insiden di Selat Hormuz berkata, AS sudah menyiapkan senjatanya untuk bertindak balas pada malam Khamis lalu dengan menyasarkan tiga lokasi berlainan.

Bagaimanapun, dia membatalkan serangan itu 10 minit sebelum ia dilancarkan.

“Saya bertanya, berapa ramai yang akan mati? dan jeneral menjawab 150 orang tuan,” kata Trump di Twitter miliknya.

Ujarnya, dia kemudiannya memutuskan bahawa ia tidak setimpal dengan tindakan menembak jatuh pesawat tanpa juruterbang.

“Saya tidak terburu-buru. Tentera kami sedang membangun, baru dan bersedia untuk pergi,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2019 @ 11:22 PM